Trump ambil masa lapan jam sebelum kutuk serangan di El Paso

Trump menulis tweet kepada petarung UFC, Colby Covington 14 minit selepas menulis tweet berhubung insiden tembakan di El Paso.
Trump menulis tweet kepada petarung UFC, Colby Covington 14 minit selepas menulis tweet berhubung insiden tembakan di El Paso.
A
A
A

WASHINGTON - Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump sekadar mengutuk serangan di El Paso, Texas semalam sebagai tindakan pengecut dan mengambil masa sehingga lapan jam sebelum menzahirkan kesedihannya di Twitter.

Beliau juga tidak menyebut ia sebagai serangan pengganas selepas suspek dikenal pasti sebagai lelaki kulit putih, Patrick Cruisius, 21, ditahan polis.

Trump sekadar menulis di Twitter 'laporan amat menyedihkan, ramai terbunuh' sekitar jam 1.10 petang (waktu tempatan) selepas bercakap di telefon dengan Gabenor Texas, Greg Abbott.

Insiden tembakan di sebuah gedung Walmart itu meragut 20 nyawa dan mencederakan lebih 24 yang lain dengan polis mengaitkan ia ada kaitan dengan jenayah kebencian.

Menurut perangkaan bancian AS, lebih 80 peratus penduduk El Paso berketurunan Hispanik.

Selepas menulis tweet berhubung insiden di El Paso, Trump segera mengalihkan tumpuannya untuk mengucapkan selamat bertarung kepada Colby Covington yang beraksi menentang Robbie Lawler dalam pertarungan Welterweight di UFC on ESPN 5 di New Jersey.

Trump menulis tweet itu 14 minit selepas tweet pertamanya yang mengundang kecaman pengguna Twitter.

Sehari sebelum itu, Trump menyokong tweet kolumnis sayap kanan Britain, Katie Hopkins yang menggelar pendatang sebagai lipas.

Artikel Berkaitan:

Covington adalah pengikut setia Trump dan seperti pemimpin itu, petarung UFC itu juga bersikap rasis dan sering memakai topi merah 'Make America Great Again' atau MAGA.

Malah dua anak lelaki Trump, Trump Jr dan Eric turut hadir menyaksikan pertarungan Covington yang berlangsung di Prudential Center.

Trump terkenal dengan sentimen xenofobia dan membina tembok di sepanjang sempadan AS-Mexico bagi menghalang kemasukan pendatang haram dari negara Amerika Tengah.

Awal bulan ini, Trump dikecam selepas mengeluarkan komen rasis terhadap empat anggota kongres wanita Demokrat.

Trump meminta Alexandria Ocasio-Cortez dari New York; Ilhan Omar dari Minnesota; Rashida Tlaib dari Michigan dan Ayanna Pressley dari Massachusetts pulang ke negara asal mereka dilahirkan.

Tahun lalu, Trump merujuk negara di Afrika sebagai ‘lubang najis’ dan bercakap mengenai ‘pencerobohan’ pendatang. - Agensi