Dua beranak sesat mendaki ditemui selamat

Dua beranak ditemui selamat setelah sesat lima jam ketika mendaki Gunung Angsi. - FOTO BOMBA
Dua beranak ditemui selamat setelah sesat lima jam ketika mendaki Gunung Angsi. - FOTO BOMBA
A
A
A

KUALA PILAH - Dua beranak yang sesat lebih lima jam ketika mendaki Gunung Angsi di sini semalam, ditemui selamat oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia awal pagi tadi.

T Jaya Prakash, 36 dan anak tirinya, Ryan Mohd Azman, 10, dari Seremban dijumpai selamat di puncak Bukit Botak pada jam 1.22 pagi.

Pegawai operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Seri Menanti, Pegawai Bomba Kanan 2, Roslan Shahrani berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.13 malam dan tiba di lokasi jam 8.28 malam.

Bomba menemui dua beranak tersebut pada jam 1.22 pagi. - FOTO BOMBA
Bomba menemui dua beranak tersebut pada jam 1.22 pagi. - FOTO BOMBA

"Sebuah jentera serta tujuh anggota ke lokasi untuk operasi pencarian mangsa. Kita turut dibantu Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Pilah, polis, Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan orang awam.

“Dua beranak terbabit ditemui di puncak Bukit Botak dan mangsa memberitahu mula mendaki pada jam 4 petang semalam," katanya.

Menurutnya, mangsa terpaksa mendapatkan bantuan selepas panik sama ada mahu meneruskan pendakian atau turun semula disebabkan cuaca semakin gelap.

Roslan berkata, mangsa sempat menghubungi ahli keluarga sebelum telefon bimbit kehabisan bateri.

Artikel Berkaitan:

"Mangsa selamat dibawa turun pada jam 7.32 pagi," katanya.