Insentif akaun SSPN galakkan menabung

Mukhriz (tiga dari kiri) dan Wan Saiful (dua dari kiri) ketika gimik pelancaran Program Jelajah SSPN 2019 di Dewan Seri Mentaloon, Alor Setar.
Mukhriz (tiga dari kiri) dan Wan Saiful (dua dari kiri) ketika gimik pelancaran Program Jelajah SSPN 2019 di Dewan Seri Mentaloon, Alor Setar.
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan Kedah bercadang menyalurkan insentif kepada pelajar dalam bentuk tabungan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) dalam usaha menggalakkan tabungan pada usia muda.

Menteri Besarnya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, pihaknya akan mencadangkan kepada Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) untuk memasukkan akaun SSPN sebagai tambahan kepada penerima kad Kasih Ibu Darul Aman (KIDA) keluarga B40.

Menurutnya, keluarga yang mempunyai anak bersekolah boleh dibantu dengan memberi sumbangan RM100 untuk membuka akaun SSPN sebagai permulaan tabungan.

“Ibu bapa harus melihat pendidikan sebagai satu pelaburan, bukannya perbelanjaan. Setiap pelaburan akan ada pulangannya iaitu melihat kejayaan anak dalam pendidikan dan kembali menyumbang kepada keluarga dan negara,” katanya ketika merasmikan Program Jelajah SSPN 2019 peringkat kebangsaan di Dewan Seri Mentaloon, Kedah semalam.

Mukhriz (tengah) dan Wan Saiful bergambar bersama pelajar yang juga penerima akaun SSPN dari setiap DUN di Kedah.
Mukhriz (tengah) dan Wan Saiful bergambar bersama pelajar yang juga penerima akaun SSPN dari setiap DUN di Kedah.

Hadir sama, Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Wan Saiful Wan Jan.

Pada majlis itu, PTPTN memberi sumbangan kepada 4,920 pelajar dari 36 kawasan DUN di Kedah berjumlah RM492,000. Setiap pelajar menerima RM100 dalam bentuk akaun SSPN-i dengan kerjasama Lembaga Zakat Kedah dan Jabatan Pendidikan Kedah.

Mukhriz berkata, sehingga 30 Jun 2019, sebanyak 4.1 juta akaun SSPN dibuka dengan deposit sebanyak RM4.9 bilion.

Artikel Berkaitan:

“Di Kedah, sebanyak 349,146 akaun SSPN dibuka dengan deposit RM206 juta. Ia menunjukkan kesedaran tabungan di kalangan ibu bapa, namun masih angka kecil berbanding rakyat negeri ini. Diharap ibu bapa yang belum mempunyai perancangan kewangan pendidikan mulakan segera penabungan ini,” katanya.

Menurutnya, pihaknya juga mahu semua agensi kerajaan, swasta dan sekolah bekerjasama dengan PTPTN mengadakan kempen menabung di agensi masing-masing untuk menggalakkan tabungan.

Sementara itu, Wan Saiful berkata, peningkatan jumlah simpanan dan akaun saban tahun membuktikan semakin ramai rakyat sedar akan kepentingan perancangan kewangan.

“Pada 2018, kutipan deposit SSPN cecah RM1.13 bilion dan jumlah tabungan tertinggi pernah dicapai sejak produk ini diwujudkan pada 2004, bilangan akaun baharu 678,829 juga pencapaian tertinggi,” katanya.

Menurutnya, pada tahun ini, pihaknya menyasarkan jumlah simpanan sebanyak RM1 bilion dengan 500,000 akaun baharu.

“Dengan adanya program jelajah dan kerjasama dengan kerajaan negeri, saya yakin sasaran boleh dicapai. Saya turut hubungi setiap negeri untuk jalin kerjasama galakkan tabungan di kalangan rakyat,” katanya.

Program Jelajah SSPN 2019 bertujuan membudayakan penabungan bagi pendidikan tinggi melalui SSPN bermula Ogos hingga September melibatkan 12 lokasi di Semenanjung Malaysia, serta 11 lokasi di Sabah dan 10 lokasi di Sarawak.

Sepanjang program jelajah, PTPTN akan memberi sumbangan simpanan akaun SSPN-i kepada 8,880 anak asnaf di 222 Parlimen bawah peruntukan wakalah zakat dan CSR PTPTN berjumlah RM888,000.

Untuk menghargai pendeposit SSPN, sempena ulang tahun ke-15, PTPTN mengadakan kempen cabutan hadiah 15 tahun dan cabutan WOW! SSPN-i Plus secara serentak melibatkan RM1.1 juta hadiah.

Sebuah kereta Proton X70 Premium menanti anda selain wang tunai ditawarkan.