Ukiran ais terpanjang di Asia ada di Perak?

BERNAMA

Selepas 26 jam mengukir bongkah ais sepanjang 60 meter dengan pelbagai elemen tarikan yang ada di Taman Tema Lost World of Tambun- FOTO FRONT DESK
Selepas 26 jam mengukir bongkah ais sepanjang 60 meter dengan pelbagai elemen tarikan yang ada di Taman Tema Lost World of Tambun- FOTO FRONT DESK
A
A
A

IPOH - Selepas 26 jam mengukir bongkah ais sepanjang 60 meter dengan pelbagai elemen tarikan yang ada di Taman Tema Lost World of Tambun di sini, hasil kerja itu akhirnya diiktiraf sebagai rekod ukiran ais terpanjang dalam Asia Book of Records.

Pengiktirafan itu juga diberikan kerana berjaya memenuhi syarat supaya bentuk ukiran dikekalkan sekurang-kurangnya selama dua jam selepas kerja-kerja bermula pada 7.15 petang sehingga selesai pada 9.15 malam tadi.

Ukiran yang dihasilkan termasuk haiwan seperti kuda dan pelbagai jenis burung yang terdapat dalam 'petting zoo', selain kolam air panas dan permainan air serta bentuk tiang taman tema itu.

Pengurus Besar Lost World of Tambun, Nurul Nuzairi Mohd Azahari berkata impian untuk mengukir nama dalam Asia Book of Records mula timbul kira-kira setahun lalu dengan tujuan memberi latihan kepada pelajar jurusan kulinari menerusi aktiviti ukiran ais.

"Daripada idea tersebut kita mulakan usaha termasuk kajian dan akhirnya kita berjaya kumpulkan kira-kira 25 pengukir ais senior, 25 pengukir ais amatur dari seluruh negara yang dibantu 67 pelajar dari Kolej Komuniti Chenderoh, Kuala Kangsar.

“Ini satu pengalaman yang amat mencabar kerana selain cuaca yang panas, di sini juga ada kolam air panas dan kita perlu mengekalkan bentuk ukiran ais sekurang-kurangnya dua jam namun dengan bakat yang ada pada pasukan kita berjaya laluinya,” katanya pada majlis pengiktirafan oleh Asia Book of Records di sini malam tadi.

Hasil kerja itu diiktiraf sebagai rekod ukiran ais terpanjang dalam Asia Book of Records.- FOTO FRONT DESK
Hasil kerja itu diiktiraf sebagai rekod ukiran ais terpanjang dalam Asia Book of Records.- FOTO FRONT DESK

Sijil Asia Book of Records disampaikan oleh wakilnya, Evelyn Kuppa dan Grace Kuppa.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Nurul Nuzairi berkata, kejayaan tersebut lebih bermakna apabila dilakukan pada bulan Kebangsaan dan ia sekali gus membuktikan bahawa segalanya boleh dicapai sekiranya semua pihak bersatu.

Selain Lost World of Tambun dan Nurul Nuzairi, turut mendapat sijil Asia Book of Records adalah tiga cef yang mengetuai pasukan pengukir iaitu cef Sabri Hassan, cef Ahmad Tarmizi Ismail dan cef Harun Jalil.

Sabri ketika ditemui menyifatkan kejayaan memahat nama Lost World of Tambun dalam Asia Book of Records itu merupakan satu kebanggaan.

“Ini adalah pertama kali (ukiran ais terpanjang) dilakukan dan mendapat pengiktirafan Asia Book of Records. Ini semua untuk rakyat Malaysia,” katanya.

Menurutnya, sebanyak 250 bongkah ais digunakan dengan berat setiap satu dianggar 100 kilogram untuk menghasilkan ukiran dengan ketinggian struktur utama kira-kira 3.9 meter. - Bernama