Jangan polemik perjumpaan PM dengan pembangkang

Annuar (kiri) menyampaikan cenderamata kepada Wan Rosdi selepas merasmikan Mesyuarat UMNO Ketereh semalam
Annuar (kiri) menyampaikan cenderamata kepada Wan Rosdi selepas merasmikan Mesyuarat UMNO Ketereh semalam
A
A
A

KOTA BHARU - Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa minta supaya pertemuan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bersama wakil Gabungan Parti Sarawak (GPS), UMNO dan Pas baru- baru tidak dipolemikkan.

Menurutnya, kehadiran bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein atas kapasiti peribadi dan tidak mewakili UMNO kerana beliau menerima undangan Perdana Menteri yang meninjau pandangan pembangkang.

"Kita sudah semak mengenai pertemuan itu dengan GPS dan Pas. Mungkin Tun nak tanya khabar atau tanya pandangan sahaja. Ia bukan pertemuan formal atau perjumpaan wakil rasmi parti. Sebelum ini pun kita berjumpa dengan Perdana Menteri, wakil-wakil rakyat pun jumpa dari semasa ke semasa.

"Jadi ia bukan satu isu besar. Kita sudah buat keputusan kalau ada apa-apa perkara bersifat rasmi, Majlis Tertinggi akan memberi mandat kepada Presiden. Selain daripada Presiden dianggap sebagai atas urusan peribadi masing-masing," katanya selepas Majlis Perasmian Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Ketereh di Yayasan Kemiskinan Kelantan (YKK) semalam.

Majlis tersebut dirasmikan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan turut dihadiri Pengerusi UMNO Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub; Timbalannya, Tan Sri Mohamad Fatmi Che Salleh; Timbalan Ketua UMNO Bahagian Ketereh, Datuk Md Alwi Che Ahmad dan Pengerusi MCA negeri, Chua Hock Kuan.

Kelmarin, Hishammuddin yang juga Ketua UMNO Bahagian Semberong mengakui bertemu dengan Perdana Menteri Selasa lalu namun menyifatkan pertemuan itu adalah perkara biasa dan bukan sesuatu yang unik.

Beliau berkata, pertemuan itu bertujuan memikirkan masa depan negara dan rakyat terutama dalam usaha pengukuhan ekonomi serta perpaduan.

Terdahulu sebelum itu, Tun Dr Mahathir yang juga Pengerusi Pakatan Harapan mengesahkan beberapa pemimpin pembangkang termasuk daripada UMNO, Pas dan GPS telah bertemu beliau.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Perjumpaan bersama PM perkara biasa, kata Hishammuddin