Peranan GLC dalam kemakmuran

A
A
A

PROSES pengukuhan pengurusan dan kewangan agensi amanah, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan tabung pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) harus dilihat daripada beberapa sudut utama.

Pertama, banyak badan ini telah diperalatkan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN), khususnya ketika pemerintahan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, sehingga sampai peringkat muflis dan terpaksa diselamatkan oleh kerajaan baharu Pakatan Harapan (PH).

Ironinya, kebanyakan agensi amanah bumiputera ini adalah hasil keringat dan air mata bapanya sendiri, Almarhum Tun Abdul Razak Hussein.

Kedua, agensi-agensi itu ditubuhkan khas untuk mempelopori dan menerokai bidang ekonomi dan perniagaan bagi pihak bumiputera berikutan pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB) pada tahun 1971. Hasil daripada pelaburan agensi-agensi inilah maka lahir GLC dan GLIC.

Walaupun ada banyak pihak yang membantah penyertaan kerajaan dalam perniagaan melalui GLC dan GLIC atas alasan “bukan urusan kerajaan terlibat dalam perniagaan” namun faedahnya banyak.

Misalnya, antara syarikat terbesar di Bursa Malaysia adalah GLC dan kaunter-kaunter besar inilah yang memberi nafas dan martabat kepada Bursa Malaysia.

Pelabur asing lazimnya masuk ke bursa untuk membeli saham syarikat raksasa GLC seperti Tenaga Nasional Berhad, Telekom Malaysia Berhad, Maybank Berhad dan syarikat dalam Kumpulan Petronas.

Ketiga, dalam proses penyelamatan dan pengukuhan ini, boleh dikatakan semua GLC dan GLIC telah mendapat pengurusan baru di peringkat lembaga dan pengurusan kanan.

Artikel Berkaitan:

Keempat, suntikan budaya korporat baharu yang berasaskan kecekapan, ketelusan, bebas rasuah dan kesaksamaan dalam kalangan kakitangan.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri meminta GLC dan GLIC supaya mengagihkan keuntungan secara lebih adil kepada pemegang saham dan pekerja.

Nasihat saya, jangan asyik jual harta, buat keuntungan modal tetapi tidak berkongsi dengan pemegang saham dan pekerja. Jual beli aset adalah perkara biasa dalam perniagaan tetapi haruslah berhemah dan seimbang.

GLC dan GLIC sekarang menjual aset untuk mengambil keuntungan modal dengan tujuan membayar balik hutang dan mendapatkan modal untuk pelaburan baharu yang lebih berdaya maju.

Tetapi mereka tidaklah boleh abaikan kepentingan pemegang saham utama mereka iaitu kerajaan. Kerajaan memerlukan dividen bagi membayar balik hutang dan diagihkan kepada rakyat jelata dalam bentuk perbelanjaan mengurus dan pembangunan.

Kita terus memerlukan pembabitan GLC dan GLIC dalam bidang perniagaan bukan untuk kepentingan bumiputera semata-mata tetapi demi ekonomi negara.

Tanpa GLC dan GLIC, harapan bumiputera memasuki dunia korporat amat terhad malah dalam hal-hal tertentu boleh membantutkan kemajuan ekonomi negara keseluruhannya.

Ambil contoh pelancaran syarikat takaful terbaru, FWD Takaful Berhad, baru-baru ini. Tanpa sebuah GLIC besar seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), mungkin tidak ada pemodal yang mewakili negara dan rakyat jelata di dalamnya.

Takaful itu adalah insurans patuh syariah. Tetapi berapa ramai orang Islam atau institusi Islam yang mampu mengeluarkan modal besar bagi menubuhkan syarikat takaful?

Orang bukan Islam mereka tidak peduli sangat sistem mana. Yang penting keuntungan. Jadi dua lagi pemegang saham FWD Takaful adalah taiko Robert Kuok Hock Nien dan jutawan Hong Kong, Richard Li Tzai Kai. Richard Li ini adalah salah seorang anak kepada jutawan perkapalan dan marin, Li Ka-Shing.

Kerajaan PH pastinya lebih akur daripada kerajaan BN berkenaan pentingnya perkongsian kekayaan ini dilakukan dengan cara yang menguntungkan semua pihak dan pada masa sama menjadikan negara kita lebih maju, bersatu dan bertolak ansur.

Kemakmuran bersama dan taraf negara maju tidak bermakna jika nama-mana bangsa dan kaum dan negeri terus tercicir daripada arus pembangunan dan ketamadunan.

Wallahuaklam.

*Datuk A Kadir Jasin ialah Tokoh Wartawan Negara