Hab kraftangan dicadang diwujudkan di Lahad Datu

Mohamaddin Ketapi
Mohamaddin Ketapi
A
A
A

LAHAD DATU - Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya kini dalam proses perbincangan untuk mewujudkan satu pusat penjualan atau hab kraftangan di daerah ini.

Menterinya, Datuk Mohamaddin Ketapi berkata, pusat itu nanti akan membolehkan pengusaha kraftangan memasarkan produk mereka.

"Saya telah berbincang dengan pegawai daerah mengenai cadangan ini dan satu tapak untuk membangunkan hab ini sudah dikenal pasti.

"Sekarang kita akan mencari peruntukan untuk membangunkan hab ini," katanya selepas Festival Sayangi Lahad Datu di sini malam tadi.

Sementara itu, pada festival berkenaan, Mohamaddin yang juga Ahli Parlimen Silam berkata, Kraftangan Malaysia mengadakan makmal pengeluaran produk baharu iaitu tekstil (batik dan jahitan), hasil logam (parang), hasil rimba, dan aneka kraf manik pada 26 hingga 30 Julai lepas dengan penglibatan sebanyak 47 usahawan kraf di daerah ini.

"Menerusi makmal ini, kepakaran daripada tenaga pengajar yang terdiri daripada usahawan dan pereka daripada Kraftangan Malaysia memberi nilai tambah kepada penghasilan produk baru serta kepelbagaian produk kraf," katanya.

Mohamaddin berkata, penganjuran festival itu adalah satu inisiatif kerajaan mengangkat seni budaya setempat untuk tatapan generasi kini dan sebagai daya tarikan baru pelancongan di Sabah khususnya Lahad Datu. - Bernama

Artikel Berkaitan: