Bimbang ketagihan internet seks siber

Muhammad Alif (dua, kiri) mewakili ADUN Endau merasmikan program Jelajah Kitakan Keluarga Negeri Johor, semalam.
Muhammad Alif (dua, kiri) mewakili ADUN Endau merasmikan program Jelajah Kitakan Keluarga Negeri Johor, semalam.
A
A
A

MERSING - Statistik Suruhanjaya Multimedia dan Komunikasi Malaysia (SKMM) mendapati sebanyak 29.6 peratus pengguna menggunakan internet di rumah melebihi 15 jam sehari.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Endau, Alwiyah Talib melalui teks ucapan yang dibacakan wakilnya, Muhammad Alif Abdul Fa'atas berkata, angka itu harus dikaji bagi memastikan sama ada wujud masalah ketagihan internet khususnya seks siber dalam kalangan pengguna.

Menurutnya, ketagihan seks siber merangkumi spektrum yang besar termasuk penggunaan keterlaluan laman web lucah pornografi dan perhubungan seks atas talian, malah akan memberi kesan negatif terhadap pengguna dan orang di dalam lingkungannya.

"Ia termasuklah kurangnya komunikasi dalam keluarga dan perhubungan sosial, bertambahnya kemurungan dan kesunyian, perasaan kecewa dan diabaikan akibat kecurangan dan dalam kes-kes tertentu boleh melibatkan perceraian," katanya.

Selain itu, katanya, isu berkaitan kesihatan reproduktif dan sosial anak remaja juga perlu diberi perhatian serius.

"Tahap pengetahuan remaja di Malaysia berkaitan kesihatan seksual dan reproduktif masih di tahap sederhana.

"Laporan penemuan utama kajian penduduk dan keluarga Malaysia ke-5 yang dijalankan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) pada tahun 2014 didapati sebanyak 33.7 peratus remaja mengetahui bahawa seorang gadis boleh hamil pada hubungan seks yang pertama.

"Peratusan ini agak rendah dan ini menunjukkan remaja tidak mengetahui bahawa kebarangkalian untuk mereka hamil pada hubungan seks yang pertama itu masih ada," katanya pada Majlis Perasmian Jelajah Kitakan Keluarga Peringkat Negeri Johor di pekarangan surau penempatan SPKR Jalan Pak Wan Kampung Tenglu, Mersing, hari ini.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, dari segi perilaku seksual pula, kajian mendapati 35.3 peratus remaja pernah terdedah atau terlibat dengan bahan lucah, dengan remaja berumur 18 hingga 24 tahun mencatatkan 42.8 peratus, diikuti remaja berumur 13 hingga 17 tahun iaitu 29.9 peratus.

"Daripada jumlah itu sebanyak 60.8 peratus remaja memperoleh bahan lucah melalui internet. Situasi ini amat membimbangkan jika tiada pemantauan dan kawalan daripada ibu bapa.

"Ibu bapa perlu memastikan bahawa mereka adalah orang yang pertama dirujuk oleh anak-anak bukannya melalui rakan mahupun internet.

"Maklumat dari sumber yang kurang tepat dan tidak sahih dikhuatiri akan menyebabkan salah kefahaman yang boleh mengundang kepada risiko terhadap anak-anak," katanya.

Beliau berharap dengan adanya program sebegini, masyarakat setempat mengambil peluang mendapatkan segala perkhidmatan yang ditawarkan secara percuma termasuklah perkhidmatan kaunseling.

Hadir sama, wakil Ketua Pengarah LPPKN, Suaizan Abd Jabar, Penghulu Mukim Tenglu, Mohd Najib Hashim.