Skim Infaq Lil Waqf Angkasa catat agihan RM5.1 juta

Kamarudin (tiga dari kiri) bersama warga akademi dan Angkasa.
Kamarudin (tiga dari kiri) bersama warga akademi dan Angkasa.
A
A
A

NILAI - Sebanyak RM5.1 juta nilai agihan menerusi Skim Infaq Lil Waqf Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) dicatatkan dalam tempoh lima tahun.

Timbalan Presiden Angkasa, Datuk Kamarudin Ismail berkata, jumlah tersebut berdasarkan rekod pada 2014 sehingga tahun lalu melalui hasil infaq daripada Angkasa, anggota koperasi, korporat dan orang perseorangan bagi kepentingan umum.

Menurutnya, dana tersebut diagihkan kepada pelbagai saluran seperti pusat perlindungan dan penjagaan asnaf milik Angkasa, Pusat Jagaan Darul Sakinah, perkhidmatan kesihatan dialisis, pusat perniagaan koperasi, institusi pendidikan dan pembelian bangunan untuk tujuan wakaf.

"Sumbangan ini sangat diperlukan dari pelbagai pihak bagi meneruskan aktiviti, sekali gus memberi manfaat kepada masyarakat setempat," katanya pada sidang akhbar sempena Majlis Perasmian Laman Agro Coop Care Angkasa-Faqeh sempena Jom Tanam Sejuta Pokok di sini hari ini.

Kamarudin (tiga dari kanan) ketika melakukan simbolik penanaman pokok di akademi tersebut.
Kamarudin (tiga dari kanan) ketika melakukan simbolik penanaman pokok di akademi tersebut.

Turut hadir, Naib Presiden Angkasa, Datuk Che Mohd Shukree Che Isa; Pengerusi Yayasan Faqeh, Syar Meeze Mohd Rashid dan Pengurus Besar Bahagian Komunikasi Korporat ANGKASA, Borhan Mat Aris.

Mengulas program berkenaan, Kamarudin berkata, Projek Laman Agro Coop Care Angkasa-Faqeh merupakan inisiatif pertanian bandar yang memberi peluang kepada anak-anak istimewa di Akademi Faqeh menghasilkan tanaman seperti sayur-sayuran organik untuk kegunaan sendiri dan selebihnya boleh dikongsi dengan penduduk setempat.

Artikel Berkaitan:

Kamarudin (dua dari kanan) ketika meninjau sekitar Akademi Faqeh di sini selepas selesai perasmian program.
Kamarudin (dua dari kanan) ketika meninjau sekitar Akademi Faqeh di sini selepas selesai perasmian program.

"Usaha ini selaras dengan seruan kerajaan mempromosikan program berbentuk kebun bandar bertemakan 'Makanan Kita, Masa Depan Kita' (Our Food Our Future).

"Program yang dijalankan di bawah payung ‘Coop Care’ ini merupakan inisiatif Angkasa dengan kerjasama Koperasi Pembiayaan Syariah Angkasa (KOPSYA) untuk meningkatkan kemahiran motor kasar, sosial dan mempelajari sedikit sebanyak kemahiran perniagaan dengan bantuan para guru di Akademi Faqeh," katanya.

Berdasarkan rekod, Laman Agro Coop Care Angkasa-Faqeh juga merupakan kesinambungan kepada program Jom Tanam Sejuta Pokok yang dicetuskan Angkasa awal tahun ini.

Dalam pada itu, Angkasa turut memberi sumbangan sebanyak RM8,000 kepada Akademi Faqeh menerusi pembangunan Laman Agro Coop Care Angkasa-Faqeh.

Akademi Faqeh yang menyediakan pusat pengajian al-Quran untuk anak-anak kurang upaya (OKU) pelbagai kategori seperti autisme, sindrom down, disleksia, lembam dan pekak bersama sukarelawan Angkasa telah menyemai kira-kira 300 benih sayur-sayuran menerusi projek ini.