Penduduk nampak helikopter terbang rendah

Laporan Sinar Harian tentang helikopter Nuri yang mendarat cemas, semalam. Gambar kecil:Ya Kassim (atas) dan Mohd Yusof Abidin.
Laporan Sinar Harian tentang helikopter Nuri yang mendarat cemas, semalam. Gambar kecil:Ya Kassim (atas) dan Mohd Yusof Abidin.
A
A
A

SIK - Penduduk mendakwa melihat sebuah pesawat milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) jenis helikopter S61A-4 (Nuri) terbang rendah sebelum melakukan pendaratan kecemasan di dalam Kem Gubir di sini semalam.

Penduduk Kampung Kota Aur, Ya Kassim, 63, berkata, helikopter tersebut dilihat penduduk terbang rendah di sekitar pejabat kerajaan berhampiran kem berkenaan.

"Saya tak saksikan kejadian itu tetapi ada penduduk yang nampak dan beritahu helikopter itu terbang sangat rendah sebelum mendarat cemas dalam kem.

"Bahagian helikopter itu dikatakan terkena bumbung surau dalam kem," katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Menurutnya, helikopter berkenaan dikatakan tiba di kem tersebut kira-kira jam 11 pagi.

"Ada askar mai beli ais kacang di gerai ini petang semalam. Depa kata helikopter itu dah selesai hantar kumpulan pertama dalam hutan.

"Kejadian tu dikatakan berlaku waktu helikopter nak hantar askar untuk kali kedua," katanya.

Ya berkata, helikopter berkenaan juga dilihat penduduk terbang melalui kawasan lain sebelum kejadian.

Artikel Berkaitan:

"Selalunya helikopter lalu di kawasan tanah rancangan, tapi sebelum terjatuh penduduk nampak ia terbang di kawasan lebih dekat dengan kem," katanya.

Seorang lagi penduduk, Mohd Yusof Abidin, 65, berkata, helikopter TUDM sering dilihat penduduk menghantar bekalan makanan setiap bulan.

"Boleh kata setiap bulan ada helikopter mai hantar bekalan makanan masuk hutan. Setiap dua bulan sekali helikopter juga ambil dan hantar pasukan lama dan baru.

"Kami di sini sudah biasa dengan helikopter askar di kawasan ni. Tapi bila jadi macam ni memang terkejut," katanya.

Terdahulu, TUDM dalam satu kenyataan memaklumkan pesawat yang berpangkalan di Pangkalan Udara Butterworth itu sedang melaksanakan penerbangan yang membawa empat anak kapal dan 11 anggota Tentera Darat Malaysia untuk misi ulang bekal.

Menurut kenyataan itu, kesemua anak kapal termasuk penumpang helikopter selamat dan hanya mengalami kecederaan ringan.

ARTIKEL BERKAITAN: Helikopter Nuri mendarat cemas di Kem Gubir, Kedah