APMM tahan bot, tongkang lepas sisa buangan ke laut

Visual dirakam nelayan menunjukkan berlaku aktiviti terlarang di perairan Tanjung Kling.
Visual dirakam nelayan menunjukkan berlaku aktiviti terlarang di perairan Tanjung Kling.
A
A
A

MELAKA - Sebuah bot tunda bersama 'barge' (tongkang) yang dipercayai melepaskan sisa buangan kira-kira 0.7 batu nautika Tenggara Tanjung Kling, di sini, ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), semalam.

Pengarah APMM Melaka dan Negeri Sembilan, Kapten Maritim Amran Daud berkata, tindakan itu dilakukan pada jam 1.40 petang semalam selepas menerima aduan daripada nelayan mengenai aktiviti terlarang itu.

“Sebaik menerima maklumat, aset APMM bergerak ke lokasi dan pemeriksaan mendapati bot tunda dan ‘barge’ disyaki menjalankan aktiviti melepaskan bahan buangan jenis petroleum coke (petcoke).

“Bot itu ditahan jam 1.40 petang dan disiasat mengikut Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 dan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

APMM Melaka dan Negeri Sembilan menahan sebuah bot tunda dan tongkang yang dipercayai melepaskan sisa buangan kira-kira 0.7 batu nautika Tenggara Tanjung Kling, Melaka, semalam.
APMM Melaka dan Negeri Sembilan menahan sebuah bot tunda dan tongkang yang dipercayai melepaskan sisa buangan kira-kira 0.7 batu nautika Tenggara Tanjung Kling, Melaka, semalam.

Menurutnya, tangkapan itu adalah yang pertama oleh APMM Melaka dan Negeri Sembilan tahun ini dan ia tidak sepatutnya berlaku kerana menjejaskan ekosistem laut.

“Kami akan terus menggiatkan operasi penguatkuasaan bagi membanteras dan menyekat aktiviti jenayah di perairan Melaka dan Negeri Sembilan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah dan kecemasan laut boleh terus menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan di talian 06-3876730 atau MERS 999 yang beroperasi 24 jam sehari," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sinar Harian semalam melaporkan, nelayan di jeti Tanjung Kling melahirkan rasa bimbang dan kekesalan apabila perairan Tanjung Kling yang cantik telah dicemari sisa arang batu.

Pencemaran didakwa dilakukan kapal dari Indonesia yang membawa muatan arang batu itu bukan baru berlaku, sebaliknya sejak 2017 namun sehingga sekarang belum menemui jalan penyelesaian.

Malah, aktiviti terlarang melepaskan bahan buangan itu turut dirakam nelayan yang kemudian menjadi tular di Facebook sejak dua hari lalu.

Susulan itu, Exco Pertanian Pembangunan Usahawan Industri Asas Tani negeri, Norhizam Hassan Baktee berkata, pihaknya sudah mengarahkan Jabatan Laut dan APMM menyiasat dakwaan itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Tanjung Kling dicemari sisa arang batu