PH berjaya satukan hati UMNO, Pas

Maslin Sham Razman
Maslin Sham Razman
A
A
A

IPOH - "Satu-satunya kejayaan Pakatan Harapan (PH) adalah menyatukan hati ahli UMNO dan Pas,".

Itu kenyataan daripada Ketua UMNO Kuala Kangsar, Maslin Sham Razman ketika berucap Majlis Perasmian Serentak Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian dan Sayap-Sayap Bahagian Kuala Kangsar petang tadi.

Maslin Sham berkata, perkara berkenaan dilihat sebagai petanda baik khususnya bagi penyatuan ummah antara UMNO dan Pas atau ta'awun siyasi.

Menurutnya, keadaan sedemikian dilihat bakal membantu menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 kelak.

"Selama setahun tiga bulan ini, satu-satunya kejayaan PH adalah mereka berjaya satukan hati dua parti UMNO dan Pas.

"Memang pada awalnya kita rasa agak kekok bergelar pembangkang tetapi dengan ta'awun siyasi bersama Pas, kita yakin akan dapat merampas kembali Perak dan seterusnya kita akan mampu menawan Putrajaya," katanya pada majlis yang disempurnakan perasmiannya oleh Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Sementara itu, Pengerusi UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad ketika berucap berkata, biarpun dilarang menggunakan dewan orang ramai bagi mengadakan mesyuarat namun tetap berjaya mengadakan Mesyuarat Perwakilan UMNO.

Katanya, perkara berkenaan secara keseluruhannya membuktikan bahawa UMNO tetap mampu meneruskan mesyuarat walau dalam apa juga keadaan.

Artikel Berkaitan:

"Biarpun dihalang kita tetap berjaya buat mesyuarat, tahniah kepada semua perwakilan yang telah berjaya adakan mesyuarat," katanya.