Macau Scam: Pesara kerugian RM30,000 diperdaya

Noorzainy
Noorzainy
A
A
A

BUTTERWORTH - Seorang pesara kerugian RM30,000 selepas dipercayai terpedaya dengan sindiket Macau Scam semalam.

Mangsa yang berumur 62 tahun itu telah menerima panggilan daripada seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai pegawai bank dan memberitahu mangsa ada membuat pinjaman serta terdapat tunggakan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, mangsa juga dikatakan terlibat dengan kes pemilikan dadah seberat 16 kilogram dan sindiket penggubahan wang haram.

Menurutnya, disebabkan percaya dan takut diambil tindakan, mangsa telah membuat transaksi pindahan wang seperti diminta lelaki terbabit.

”Terkejut dan terlalu takut selepas menerima maklumat itu, mangsa tanpa berfikir panjang terus membuat transaksi melalui pindahan dari akaun simpanan miliknya ke akaun bank diberikan seperti yang diarahkan.

"Mangsa melakukan transaksi pindahan wang ke dalam akaun bank dalam masa satu hari melibatkan keseluruhan RM30,000," katanya ketika dihubungi di sini.

Noorzainy berkata, selepas menyedari dirinya sudah terperangkap sindiket penipuan, mangsa tampil membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya.

Tambahnya, walaupun kes seperti ini telah berulang kali dilaporkan berlaku, namun masih ramai yang terpedaya.

Artikel Berkaitan:

Beliau menasihatkan agar orang ramai sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan muslihat serta tipu helah sindiket.

"Jangan mudah panik dan mengikut arahan diberikan pemanggil yang tidak dikenali, sebaliknya hubungi pihak polis atau organisasi yang terlibat untuk sebarang pengesahan.

"Jangan mendedahkan maklumat peribadi seperti nombor akaun bank, nombor kad ATM atau nombor kad kredit kepada individu yang tidak dikenali," katanya.

Kes ini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.