SOP lombong, eksport bauksit sedia dimuktamad: Xavier

Dr Xavier Jayakumar
Dr Xavier Jayakumar
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dokumen Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi aktiviti perlombongan dan pengeksportan bauksit di Pahang telah sedia untuk dimuktamadkan, kata Menteri ​​​​​​Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar.

Beliau berkata, kementerian bersama Kerajaan Negeri Pahang akan mempertimbangkan pemakaian dokumen SOP itu dan penentuan tarikh berkuat kuasa.

"Seterusnya dokumen SOP ini akan dimuat naik ke laman sesawang kementerian untuk rujukan semua pihak berkenaan,” katanya menerusi satu kenyataan, di sini hari ini.

Beliau merujuk kepada laporan portal berita dalam talian ‘The Malaysian Insight’ pada Khamis bertajuk ‘Ministry SOP delay frustrates bauxite mining operators’, yang antara lain menyebut mengenai kelewatan dalam penyediaan SOP bagi aktiviti perlombongan dan eskport bauksit di Pahang.

Menjelas lanjut, Xavier berkata, SOP yang telah mengambil kira pandangan semua pihak berkepentingan itu mengenakan syarat-syarat yang ketat merangkumi seluruh rantaian aktiviti perlombongan bermula dari peringkat pra, semasa dan pasca perlombongan.

Menurutnya, ia bagi memastikan kelestarian alam sekitar, kemakmuran ekonomi dan kesejahteraan rakyat terus dipelihara.

"Penyediaan dokumen itu telah melalui pelbagai proses termasuklah sesi pendengaran awam pada 14 April lepas yang dihadiri 519 orang dan mengumpul sebanyak 56 maklum balas secara lisan dan dalam talian,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: