Pelajar guna vape berdepan tindakan

Boon Chye menyampaikan sumbangan kepada 200 warga emas dan golongan miskin di Taman Song Choon hari ini.
A
A

IPOH - Kementerian Kesihatan akan bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan untuk mengenakan tindakan tegas terhadap pelajar yang terlibat dengan penggunaan rokok elektronik atau vape.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye berkata, ini kerana gejala penggunaan vape dalam kalangan pelajar kian menular dan dikhuatiri menyebabkan ketagihan sehingga menjadi perokok.

"Kerajaan memandang serius isu ini dan kita juga bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan agar tindakan dapat diambil terhadap pelajar yang membawa peralatan vape ke sekolah.

"Jika didapati ada, tindakan tegas termasuk sita boleh dikenakan," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada 200 warga emas dan golongan miskin di Taman Song Choon di sini hari ini.

Menurutnya, baik guru mahupun ibu bapa perlu memberi perhatian serius sekiranya terdapat pelajar yang menggunakan pen atau jam tangan dalam bentuk mencurigakan.

"Sekarang sudah canggih, ada peranti vape yang macam bentuk pen, jam tangan dan sebagainya. Kadangkala mereka kata beli dan bawa jam tangan ke sekolah, tetapi sebenarnya ia adalah peranti vape," katanya.

Boon Chye berkata, bagi langkah kawalan jangka panjang, kementerian telah mengarahkan tindakan besar-besaran bersama agensi kerajaan lain iaitu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) serta Kastam Diraja Malaysia.

Katanya, tindakan secara bersekutu itu termasuk mengeluarkan semua peranti vape yang menarik perhatian pelajar dari pasaran tempatan dan mengenakan tindakan terhadap premis yang menjual vape kepada kumpulan berkenaan.

"Jika ada pelajar yang nak beli, mereka katakan 'out of stock', tetapi bukan kerana permintaan tinggi, sebaliknya kerana telah diarah menghentikan edaran.

"Begitu juga dengan akta baharu berkaitan tembakau, vape, rokok elektronik dan shisha yang sedang kita gubal sekarang. Diharap ia dapat memberi satu rangka kawalan yang lebih baik dari segi larangan jualan dan pasaran kepada remaja di bawah usia 18 tahun," katanya.

Mengulas mengenai penjualan gula-gula ghost smoke yang mengeluarkan asap seakan-akan rokok, Ahli Parlimen Gopeng itu memberitahu, produk itu telah dikeluarkan dari pasaran buat sementara waktu di kebanyakan negeri antaranya Sabah, Perak, Melaka dan Johor.

"Produk ini berada di pasaran sejak 2015 dengan import utama adalah di Perak. Walaupun hasil kajian tidak menemui sebarang kandungan berbahaya, kita tidak menggalakkan makanan sedemikian kerana penggunaannya menyerupai merokok," katanya.