Cadangan KXP sebagai lapangan terbang kargo diteliti

Mohamed Azmin (tengah) menyampaikan replika kunci kepada pembeli Casa Anggun tadi.
Mohamed Azmin (tengah) menyampaikan replika kunci kepada pembeli Casa Anggun tadi.
A
A
A

GEORGETOWN - Kementerian Hal Ehwal Ekonomi sudah menerima beberapa cadangan berhubung pembangunan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) di Kedah sebagai lapangan terbang kargo.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, kesemua cadangan itu sedang diteliti Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) diketuai Datuk Seri Jebasingam Issace John.

"Semua cadangan akan dibawa untuk pertimbangan kementerian berkaitan. Kita mengambil maklum keperluan lapangan terbang kargo ini untuk jangka masa panjang, bukan sahaja untuk negeri di utara iaitu Kedah, Perlis, Perak dan Pulau Pinang, malah juga kepada negara.

"Sebagai contoh, banyak aktiviti ekonomi di antara selatan Thailand yang akan melalui Pulau Pinang. Sudah tentu ia akan meningkatkan lagi kapasiti pada Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP)," katanya pada sidang media Majlis Penyerahan Kunci Casa Anggun di Sungai Nibong di sini hari ini.

Mohamed Azmin (tengah) merasmikan Majlis Penyerahan Kunci Casa Anggun di Sungai Nibong tadi.
Mohamed Azmin (tengah) merasmikan Majlis Penyerahan Kunci Casa Anggun di Sungai Nibong tadi.

Mac lalu, beliau mengumumkan bahawa kerajaan Pusat meluluskan tujuh projek dan program berimpak tinggi di Kedah bernilai lebih RM3.6 bilion termasuk pembinaan KXP yang membabitkan pelaburan luar berjumlah RM1.6 bilion.

Sementara itu, Mohamed Azmin berkata, pihaknya sudah membincangkan cadangan Kerajaan Pulau Pinang supaya kerajaan Pusat melaksanakan kajian kebolehlaksanaan sebelum pembinaan KXP.

"Pulau Pinang tidak bantah tetapi memberi pandangan dan pandangan itu sudah dibincangkan kerana projek ini melengkapkan antara satu sama lain. Pulau Pinang ada kekuatannya dengan pelabuhan, LTAPP dan sebagainya.

Artikel Berkaitan:

"Bagaimanapun, LTAPP telah sampai tahap kapasiti yang maksimum. Untuk menjalankan kerja pembesaran, itu satu perkara yang perlu kita pertimbangkan tetapi dengan adanya lapangan terbang baru, ia boleh mewujudkan pertumbuhan ekonomi yang baik kepada semua negeri di wilayah utara," katanya.

Sebelum ini, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow meminta kajian kebolehlaksanaan terhadap KXP dilakukan bagi mengkaji keseluruhan impak termasuk kesan jangka panjang kepada ekonomi Pulau Pinang.

Menurutnya, kajian itu adalah perlu kerana kerajaan negeri menerima pelbagai reaksi dan maklum balas terutama daripada komuniti peniaga yang mempersoalkan kewajaran pembinaan lapangan terbang tersebut.

Kon Yeow turut menggesa Kerajaan Kedah dan Pusat menjelaskan kategori lapangan terbang yang akan dibina kelak sama ada ia kargo atau penumpang.