Gubal akta pencemaran jerebu rentas sempadan

Gambar hiasan. Gambar kecil:Lee Chean Chung
Gambar hiasan. Gambar kecil:Lee Chean Chung
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan perlu menggubal akta pencemaran jerebu merentas sempadan bagi membendung amalan pembakaran terbuka oleh syarikat di rantau Asia Tenggara.

Bendahari Agung PKR, Lee Chean Chung berkata, dengan adanya akta pencemaran itu tindakan perundangan dapat diambil terhadap syarikat yang mengakibatkan jerebu.

Menurutnya, akta yang digubal harus berdasarkan terhadap firma dan juga entiti yang terlibat atau membiarkan aktiviti yang menyumbangkan kepada pencemaran jerebu rentas sempadan.

“Jadi Jabatan Alam Sekitar perlu diberikan kuasa untuk memperoleh maklumat sekiranya diperlukan. Saya percaya bahawa penggubalan ini dapat memperkasakan kerangka serantau sedia ada

“Tindakan tegas seperti denda dan memenjarakan syarikat, individu, anak syarikat atau pembekalnya yang membuat pencemaran perlu digubal ke dalam akta ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Chean Chung berkata, penggubalan akta tersebut dapat menunjukkan komitmen kerajaan terhadap pembangunan mampan dan kesejahteraan rakyat.

"Mana-mana pihak yang didapati menyalahi undang-undang patut diambil tindakan tegas dan denda yang sepatutnya termasuk syarikat Malaysia yang beroperasi negara lain," katanya.

Dalam pada itu, menurutnya, setakat ini 10 negara Asean mengiktiraf dan menandatangani perjanjian Asean mengenai pencemaran jerebu rentas sempadan pada tahun 2014.

Artikel Berkaitan:

“Perjanjian itu menyeru semua negara untuk memberikan kerjasama dalam mengurangkan pencemaran jerebu sama ada di dalam negara masing-masing melalui kerjasama negara dalam rantau Asia Tenggara atau di peringkat antarabangsa.

“Sebenarnya kebergantungan kerjasama negara di rantau sahaja tidak mencukupi selagi syarikat menyebabkan jerebu tidak diambil tindakan. Mereka ini mengaut keuntungan lumayan tetapi menyebabkan jutaan rakyat menderita,” katanya.