Nak pinjam RM5,000 tapi bayar wang proses RM8,360

Gambar hiasan. Gambar kecil: Mohd Wazir Mohd Yusof
Gambar hiasan. Gambar kecil: Mohd Wazir Mohd Yusof
A
A
A

KUANTAN - Seorang suri rumah berputih mata apabila niat asal mahu meminjam wang bukan sahaja tidak berhasil, malah mengalami kerugian apabila dia membayar caj berganda selepas ditipu perkhidmatan pinjaman tidak wujud.

Dalam kejadian tersebut, mangsa berusia 33 tahun mengalami kerugian lebih RM8,000 akibat terpedaya sindiket penipuan menerusi laman sosial Facebook.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, wanita berkenaan tertarik dengan iklan di laman sosial yang menawarkan pinjaman wang berlesen.

Menurutnya, tanpa sebarang syak, mangsa mengikut arahan pihak berkenaan supaya membuat pindahan wang sebagai syarat dan proses kelulusan pinjaman.

"Mangsa berasal dari Jengka mahu membuat pinjaman sebanyak RM5,000 tetapi bukan sahaja tidak dapat jumlah wang itu sebaliknya dia pula rugi RM8,360.

"Untuk kelulusan pinjaman, mangsa diarah membuat tujuh transaksi ke tiga akaun bank," katanya.

Mohd Wazir berkata, selepas membuat tujuh pindahan ke akaun milik individu-individu tidak dikenali bermula 27 Julai hingga 30 Julai 2019, barulah mangsa tersedar sudah menjadi mangsa penipuan.

"Penjenayah menggunakan modus operandi memperdaya mangsa dengan menawarkan pinjaman tidak wujud sehingga mendorong mangsa memasukkan wang ke dalam akaun suspek," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, beliau berkata, walaupun sindiket Macau Scam melalui pelbagai taktik memperdaya ramai mangsa tetapi masyarakat tidak pernah serik.

"Orang ramai dinasihatkan lebih berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan sebarang tawaran sedemikian atau mencurigakan," katanya.