Semua berebut nak jadi PM, kenapa?

A
A
A

KOLUM: KOPI PAHIT HUJUNG MINGGU

ALKISAH video seks songsang di sebuah hotel di Sandakan, Sabah dua bulan lalu masih belum bernoktah, malah menjadi semakin panjang.

Pertama, video yang tular itu mengenalkan Malaysia satu lagi istilah @ perkataan baharu, iaitu ‘semburit’. Kedua, video berkenaan meningkatkan keberahian semua pihak untuk menjadi Perdana Menteri.

ADA yang berharap Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad cepat berundur untuk memberi peluang kepada orang lain menjadi Perdana Menteri.

Tetapi ada juga yang mahu tokoh berusia 94 tahun itu tidak tergesa-gesa melepaskan tugas dan terus menduduki kerusi No 1 itu selagi termampu.

Dalam pada itu, ada sekumpulan wakil rakyat pembangkang yang bertemu Dr Mahathir, meminta beliau menjadi Perdana Menteri sehingga tamat tempoh sepenggal.

Pendek kata semenjak dua menjak ini tidak habis-habis orang bercakap mengenai Perdana Menteri, sehingga ada ketikanya umum perasan ada pihak-pihak tertentu macam berahi sangat hendakkan jawatan itu.

PERIHAL sekumpulan wakil rakyat pembangkang berjumpa Dr Mahathir itu kononnya terdiri daripada UMNO, Pas dan beberapa parti pembangkang lain.

Sumber berkata, matlamat pertemuan ialah untuk meluahkan pendirian mereka supaya Dr Mahathir tidak perlu berundur sekerat jalan.

Artikel Berkaitan:

Pendek kata bukan semua orang mahu Dr Mahathir melepaskan jawatan Perdana Menteri. Maka kerusi No 1 itu semakin mendebarkan. Suspens!

ADA pun yang empunya diri tidaklah gelabah sangat mengenai berapa lama lagi beliau akan menduduki kerusi Perdana Menteri.

“Semua orang boleh memberikan pandangan (mengenai tempoh menjadi PM),” kata beliau, sambil menambah: “Banyak orang berjumpa saya...”

Beliau mengulangi pendiriannya tidak akan menghabiskan penggal ahli Parlimennya sebagai Perdana Menteri. Katanya, janji telah dibuat dan perlu dikotakan.

“Saya akan melepaskan jawatan apabila kedudukan negara sudah stabil. Mungkin dua tahun, mungkin tiga tahun...”

Jawapan seperti itu sebenarnya lebih suspens dan meningkatkan lagi keberahian mana-mana pihak untuk menjadi Perdana Menteri.

ADA pun kerusi Perdana Menteri sentiasa membangkitkan keberahian yang bersangatan kepada semua orang termasuk dalam kalangan pemimpin UMNO.Sepatah kata Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi: “Kita yakin UMNO akan menguasai kembali Putrajaya...”

Beliau mengakui parti terbesar Melayu itu kini kekurangan dana berikutan akaun yang dibekukan dan sebahagian dana dirampas untuk siasatan ke atas skandal 1MDB.

“Tetapi keadaan akan kembali normal apabila parti mendapat semula kuasanya,” tegas beliau.

Pendek kata bagi kebanyakan orang apabila berkuasa dapat Putrajaya, boleh jadi Perdana Menteri, semua boleh diselesaikan.

Sebab itu keberahian terus bersangatan, macam tidak boleh ditahan-tahan.

AKHIR kalam, masih mengenai keberahian tetapi bukan pasal jawatan Perdana Menteri.

Seperti dilaporkan media, ada cadangan di Dewan Negara supaya diwujudkan undang-undang gangguan seksual untuk melindungi lelaki daripada tergoda dan terjebak dengan jenayah seperti rogol.

Hendak buat undang-undang untuk mengelakkan lelaki daripada tergoda? Kalau lemah sangat dengan godaan wanita, ubatilah diri sendiri, tidak perlu adakan undang-undang khas.

Ini mungkin undang-undang yang paling kelakar juga tidak berapa pandai daripada seorang Senator. Kita akan menjadi bahan ketawa seluruh dunia.

Nasib baik cadangan tersebut ditarik balik dan YB berkenaan memohon maaf.