Jho Low gelar Najib 'big boss'

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Nama-nama kod menggunakan perkataan-perkataan pelik seperti 'Ringgit Malaysia' disebut sebagai 'satay', dolar Amerika disebut 'pie', pound British dipanggil 'chip', 'I am only ciku' (saya hanya ciku atau orang biasa) dan 'big boss' (bos besar) ialah antara beberapa perkara yang menjadi sorotan dalam perbicaraan Datuk Seri Najib Tun Razak berkaitan tuduhan menyelewengkan dana SRC International Sdn Bhd minggu ini.

Perbicaraan yang telah memasuki hari ke-47 itu juga menyaksikan bagaimana peguam Najib, Harvinderjit Singh menyoal bekas Pegurus Perhubungan Ambank Berhad, Joanna Yu Ging Ping, yang berurusan dengan ahli perniagaan yang menjadi buruan, Low Taek Jho, yang juga dikenali sebagai Jho Low, berhubung transaksi wang ke akaun Najib, yang peguam belanya cuba membuktikan bahawa Jho Low telah memanipulasi akaun Najib, yang menyebabkan bekas perdana menteri itu dihadapkan ke mahkamah atas beberapa tuduhan.

Berikut adalah beberapa keterangan yang diberikan Yu, yang juga saksi pendakwaan ke-54, di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali dari 29 Julai hingga 1 Ogos.

HARI KE-45 (29Julai):

Peguam Ranjit Singh memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa Najib dalam satu saman fitnah terhadap bekas Menteri Pengangkutan, Tun Dr Ling Liong Sik mengakui bahawa RM42 juta dari SRC International Sdn Bhd dimasukkan ke akaun bank peribadi beliau.

Ranjit Singh yang bertindak bagi pihak Dr Ling dalam saman itu berkata, bekas Perdana Menteri itu membuat pengakuan itu dalam satu afidavit bersumpah sebagai respons kepada pernyataan bela diri pelanggannya.

"Najib juga berkata bahawa antara 24 Disember 2014 dan 6 Feb 2015, sejumlah RM42 juta telah dipindahkan ke dalam akaunnya melalui dua perantara.

"Bagaimanapun, Najib juga mengatakan bahawa dia secara peribadi tidak tahu-menahu wang telah disalurkan ke dalam akaunnya melalui kedua-dua perantara itu, iaitu Gandingan Mentari Sdn Bhd dan Ihsan Perdana Sdn Bhd,” kata saksi pendakwaan ke-55 ketika membacakan afidavit Najib.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Yu memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa Jho Low, merujuk dolar Amerika dan Ringgit sebagai 'pie' dan 'satay' dan ‘chips’ untuk pound Great Britain dalam akaun Najib.

Perkara itu didedahkan dalam log perbualan menerusi pesanan Blackberry (BlackBerry Messenger - BBM) antara beliau dan Jho Low di mana saksi itu berkata Jho Low menggunakan istilah-istilah 'pies' dan 'satay' terutama apabila merujuk kepada pengaliran besar-besaran wang asing ke dalam akaun Najib.

Harvinderjit telah menarik perhatian mengenai arahan Jho Low untuk memindahkan RM50 juta masing-masing ke dalam tiga akaun Najib yang disebut Jho Low dana RM50 juta itu sebagai “50 satays" setiap satu.

Jho Low merujuk dolar Amerika sebagai 'pies' ketika pemulangan AS$620 juta sedang diuruskan.

Saksi pendakwa ke-54 itu juga bersetuju dengan cadangan Harvinderjit bahawa berdasarkan perbualan BBM bertarikh 30 Mei 2014, Jho Low juga merujuk wang Pound Great Britain sebagai 'chips'.

Yu juga memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa Jho Low merujuk Najib sebagai 'big boss' (bos besar).

Beliau juga bersetuju dengan cadangan Harvinderjit bahawa Jho Low terdesak untuk mengelakkan cek-cek Najib dari tiga akaun AmBanknya daripada tendang.

Yu, 48, berkata berdasarkan beberapa perbualan BBM antara beliau dan Jho Low, Jho Low telah memberitahunya agar memastikan bahawa cek-cek yang dikeluarkan daripada tiga akaun Najib itu tidak tendang.

Harvinderjit: Pada 30 Jun 2014, satu teks daripada Jho Low "pastikan cek tidak tendang" dan kamu menjawab, "telah bertanya cawangan, mungkin kena tunggu sehingga 11.30 pagi” dan pada satu kesempatan lain dia menghantar teks kepada kamu "tolong ‘clear’ cek, apa pun yang anda buat jangan tendang cek itu" yang kamu jawab, "telah minta cawangan tahan seberapa lama yang boleh.”

Harvinderjit: Dan pada tarikh yang sama, dia telah menghantar pesanan, "Aiyoh, tak boleh tolaklah. Kena clear. Cuma tunggu dulu". Kesemua itu berlaku (pada hari yang sama)? Dan Yu menjawab “Ya”.

Saksi itu juga memberi keterangan bahawa RM1.13 bilion telah dipindahkan ke akaun bekas perdana menteri itu antara 2011 dan 2013.

HARI KE-46 (31 Julai):

Bekas pegawai bank itu memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa berjuta-juta ringgit wang tunai telah dimasukkan ke akaun Najib dari Jun 2014 hingga Mac 2015 walaupun telah diperingatkan ia mungkin mencetuskan amaran pengubahan wang haram.

Yu berkata beliau telah memperingatkan Jho Low dan Nik Faisal Ariff Kamil, yang juga pemegang mandat kepada akaun Najib, mengenai penerimaan deposit tunai dalam jumlah yang sangat besar menerusi kaunter bank mungkin mencetuskan kebimbangan mengenai pengubahan wang haram.

Saksi itu turut bersetuju dengan cadangan Harvinderjit bahawa jumlah keseluruhan wang tunai yang didepositkan menerusi 19 transaksi ke dalam akaun Najib yang berakhir dengan nombor 880 dan 906 antara Jun 2014 dan Mac 2015 ialah RM12.379 juta.

Ketika menjawab soalan peguam bahawa kedua-dua Nik Faisal dan Jho Low tidak patuh kepada nasihatnya agar tidak memasukkan wang tunai, saksi itu berkata,“mereka tetap juga menghantar wang tunai.”

Yu juga memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa beliau telah menggunakan wangnya sendiri untuk memastikan akaun Najib aktif pada 2014.

Beliau berkata akaun tersebut telah terlebih dikeluarkan sebanyak RM55,000 disebabkan oleh pengeluaran cek sebanyak RM80,000 dengan baki akaun tidak mencukupi dan beliau terpaksa mengambil tindakan itu untuk mengelak cek tendang.

Yu berkata beliau telah menggunakan wangnya sendiri kerana beliau gagal mendapatkan wang daripada Josie, setiausaha Jho Low, dan sekutunya, Kee Kok Thiam.

Harvinderjit: Sekali lagi saya cadangkan bahawa RM55,000 daripada kamu. Dan Josie membayar kamu balik keesokannya?

Yu: Mungkin.

Beliau berkata Jho Low telah mendesak beliau agar tidak menggunakan emel rasmi AmBank beliau untuk menghantar draf surat arahan kepada pemegang mandat akaun bekas perdana menteri itu.

Dalam keterangannya,Yu berkata berdasarkan perbualan dalam kumpulan BlackBerry Messenger (BBM) antara beliau, Jho Low dan Nik Faisal, yang juga bekas Ketua Pegawai Eksekutif SRC, beliau diarah supaya menggunakan akaun e-mel peribadinya, Gmail (Google Mail), untuk hal-hal berkaitan arahan pemindahan wang antara akaun-akaun tersebut.

HARI KE-47 (1 Ogos):

Mahkamah Tinggi diberitahu bahawa tiga akaun bank milik Najib tidak diurus dengan baik. Hal itu didedahkan dalam log perbualan BBM antara bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Yayasan Rakyat 1Malaysia (YR1M) Ung Su Ling dan Yu pada 9 Feb 2014, yang dibacakan oleh Harvinderjit.

Harvinderjit: Pesanan Ung Su Ling kepada anda, "Ahh saya boleh bayangkan pengurusan akaun-akaun itu kurang baik". Beliau merujuk mengenai bagaimana akaun-akaun 898, 906 dan 880 (akaun-akaun Ambank Najib) diuruskan dan Yu menjawab,“Daripada pesanannya, ya.”.

Saksi itu juga memberitahu bahawa Jho Low, cuba menipunya dengan mengatakan bahawa RM27 juta yang dimasukkan ke dalam akaun bank Najib bukan daripada SRC tetapi “derma” dari “Yang Maha Mulia”.

Harvinderjit: Dia (Jho Low) cuba membuatkan kamu percaya bahawa wang itu bukan dari SRC International. Dan itu satu pembohongan.

Yu: Ya.

Najib, 66, menghadapi tiga tuduhan pecah amanah jenayah, satu tuduhan menyalahgunakan kedudukannya dan tiga tuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung pada 2 petang Isnin. - Bernama