Pengasuh perlu ada ilmu penjagaan kanak-kanak

Antara peserta yang mengikuti kursus terbabit. - Gambar kecil: Azura
Antara peserta yang mengikuti kursus terbabit. - Gambar kecil: Azura
A
A
A
DAMANSARA DAMAI - Bagi memberi pendedahan berhubung aspek penjagaan kanak-kanak, Open Ideas Space (OpiS) bersama Persatuan Pengasuh Berdaftar Malaysia (PPBM) dan Pesatuan Perpustakaan Malaysia menjalinkan kerjasama menganjurkan kursus buat penduduk di Apartment Idaman.

Pengasas OpiS, Azura Zainal berkata, pelaksanaan kursus tersebut adalah bagi memupuk komuniti setempat menjalani kehidupan lebih baik di samping melahirkan masyarakat penyayang dan seimbang melibatkan semua aspek.

"Apa yang kita ingin sampaikan melalui kursus ini adalah supaya pengasuh-pengasuh di rumah sedar mengenai peranan mereka yang besar.

"Ini kerana pemikiran kanak-kanak berusia kosong hingga enam tahun adalah umpama span dan segala aspek perlu diberi penekanan pada peringkat umur tersebut," katanya.

Mengulas lanjut, Azura berkata, pengasuh bertanggungjawab memberi pengajaran, pembelajaran dan stimulasi kepada minda kanak-kanak agar mereka dapat menjadi insan berguna pada masa hadapan.

Katanya, unsur-unsur positif perlu diterapkan melalui aktiviti atau program bagi meningkatkan potensi kanak-kanak terbabit.

"Kita turut terapkan modul-modul asas kepada pelatih supaya dapat memudahkan mereka pada masa hadapan," katanya.

Dalam pada itu, Fasilitator PPBM, Rogayah Saad berkata, bagi penganjuran tersebut, seramai 35 penduduk setempat menyertai kursus berkenaan bagi mendapatkan kemahiran dan pendedahan mengenai aspek penjagaan kanak-kanak.

Rogayah berkata, PPBM mengentengahkan 16 modul untuk didedahkan kepada para peserta dan kebanyakan daripada mereka berpuas hati dengan pelaksanaan kursus tersebut.
Artikel Berkaitan:


"Kita bawakan semua modul-modul ini untuk para peserta selama enam hari program berlangsung dan mereka dilihat berpuas hati dengan input yang disampaikan," katanya.

Dalam pada itu, Rogayah berkata, penganjuran kursus berkenaan juga dapat menambah pengetahuan pengasuh susulan daripada beberapa kes penderaan yang berlaku sebelum ini.

"Kemungkinan besar kes-kes penderaan itu berlaku disebabkan pengasuh tidak mempunyai ilmu dan kesabaran.

"Mungkin mereka tiada niat untuk buat mendera namun disebabkan kekurangan ilmu inilah yang mendorong kepada tindakan itu.

“Disebabkan inilah kami mengambil peluang bagi memberi pendedahan kepada masyarakat setempat di sini,"katanya.