Pahang tarik pelaburan RM1.134 bilion

Wan Rosdy (tengah) menyaksikan MoU yang telah ditandatangani Setiausaha kerajaan negeri, Datuk Seri Dr Salehuddin Ishak (dua dari kiri) bersama wakil dari syarikat di Singapura hari ini.
Wan Rosdy (tengah) menyaksikan MoU yang telah ditandatangani Setiausaha kerajaan negeri, Datuk Seri Dr Salehuddin Ishak (dua dari kiri) bersama wakil dari syarikat di Singapura hari ini.
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan negeri dijangka dapat menarik pelaburan kira-kira RM1.134 bilion apabila menandatangani 10 Memorandum Persefahaman (MoU) dengan beberapa syarikat pada Forum Pelaburan Pahang 2019 (PIF 2019) di Singapura hari ini.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, bagi nilai Pembangunan Kasar (GDV) keseluruhannya setelah siap projek-projek berkenaan dianggarkan berjumlah kira-kira RM2.372 bilion.

“Kerajaan negeri sudah selesai menandatangani MoU dengan pelbagai syarikat termasuk syarikat multinasional yang berpangkalan di Singapura. Saya sangat gembira kerana nilai pelaburan yang telah dipersetujui ialah RM1.134 bilion.

“Ia adalah satu jumlah yang lebih besar daripada bajet tahunan kerajaan negeri yang sekadar RM700 juta. Jadi ia adalah satu kejayaan yang mampu dicapai dalam tempoh tidak sampai tiga bulan sejak datang ke Singapura buat kali pertama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada Mei lalu, Wan Rosdy menghadiri satu Seminar Mengenai Pelaburan Pahang yang dikendalikan oleh Persekutuan Perniagaan Singapura (SBF).

Kelmarin, PIF 2019 diadakan dan telah disertai oleh 130 pihak membabitkan 83 syarikat dan 23 lagi syarikat multinasional yang beribu pejabat di negara republik ini.

Wan Rosdy berkata, beliau turut mengadakan lima perjumpaan perniagaan dengan ketua-ketua syarikat-syarikat tersebut dan sembilan lagi perjumpaan yang sama dipengerusikan oleh ahli-ahli Exco kerajaan negeri, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin dan Datuk Seri Ir Mohd Soffi Abdul Razak.

Jelasnya,daripada 10 MoU yang telah ditanda tangani itu, syarikat Hercules Technologies Sdn Bhd bersetuju untuk melabur sehingga kira-kira RM450 juta melibatkan tiga projek berlainan.

Artikel Berkaitan:

“Projek-projek itu ialah masing-masing RM200 juta untuk membangunkan pusat pembekalan simen dan konkrit, pembinaan kilang bio- komposit serta RM50 juta lagi bagi penubuhan pusat latihan, kawalan kualiti dan pensijilan produk. Ketiga-tiganya ialah di Kawasan Perindustrian Gebeng, di sini,” katanya.

Beliau menambah, syarikat Zhong Hai Resources Group Private Limited juga hasrat melabur kira-kira RM400 juta untuk membangunkan kawasan seluas 654.51 ekar di Muadzam Shah, Rompin sebagai Ladang Solar.

Selain itu, Wan Rosdy berkata, IBN Corporation Private Limited pula bercadang terlibat dalam projek pembinaan kolam takungan dan pembekalan air terawat bagi memenuhi keperluan seluruh kawasan Genting Highlands dengan nilai pelaburan kira-kira RM100 juta ringgit.

“Ketika ini, air terawat di sana dibekalkan oleh Genting Utilities & Services Sdn Bhd, namun tidak mampu membekal ke keseluruhan kawasan, jadi dalam hal ini projek yang dikendalikan oleh IBN ialah sebagai pelengkap bukan pesaing kepada pembekal sedia ada,” katanya.