Kes bayi lemas: Polis sahkan wujud kecuaian

Mangsa dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan kebun. - Foto ihsan pembaca. (Gambar kecil: Baharudin)
A
A

SHAH ALAM - Polis mengesahkan wujud kecuaian berhubung kejadian seorang bayi berusia sembilan bulan dipercayai lemas dalam baldi berisi air dalam kejadian di sebuah taska di Seksyen 32 di sini pada 24 Julai lalu.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, buat masa ini pihaknya telah melengkapkan kertas siasatan.

"Kita sudah merujuk kes ini kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP), bagaimanapun pihak DPP masih menunggu laporan perubatan daripada pihak hospital dalam mengenalpasti punca sebenar kejadian.

"Siasatan awal dijalankan memang ada kecuaian pihak pengusaha taska," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam di sini.

ARTIKEL BERKAITAN: Bayi lemas dalam baldi

Dalam kejadian 24 Julai lalu, seorang bayi lelaki berusia sembilan bulan maut, dipercayai lemas dalam baldi berisi air di dalam tandas sebuah taska di Seksyen 32.

Bayi itu ditemui pengasuh taska dalam baldi kecil berisi air dengan keadaan kepala telangkup ke bawah dalam kejadian kira-kira jam 1.45 tengah hari.