Lebih 100 aduan pencemaran di Pasir Gudang

Jamaluddin Abdul Malik
Jamaluddin Abdul Malik
A
A
A

PASIR GUDANG - Badan bukan kerajaan (NGO), Pray For Pasir Gudang menerima lebih 100 aduan berkait pencemaran bau daripada penduduk sejak bulan lalu.

Pengerusi Badan Penaja Pray For Pasir Gudang, Jamaluddin Abdul Malik berkata, aduan tersebut dikumpul melalui pelbagai platform yang diwujudkan pihaknya termasuk terbaharu melalui borang aduan atas talian.

Menurutnya, aduan berkenaan akan dijadikan sebagai bukti bersama laporan yang akan diajukan kepada pihak berwajib.

"Jawatankuasa Pray for Pasir Gudang bersetuju membuka satu borang atas talian melalui 'Google Form' bulan lepas bagi memudahkan orang ramai membuat aduan secara terus.

"Setakat ini, lebih 100 aduan diterima dan rata-rata mereka mengadu hidu bau tidak enak atau tidak menyenangkan, ada juga aduan lain. Sebahagian mereka mengalami simptom-simptom pencemaran udara," katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, aduan secara atas talian itu diwujudkan bagi membantu pihak berwajib mencari jalan penyelesaian berkaitan isu pencemaran di Pasir Gudang.

"Kami akan kumpul aduan dan serahkan pada pihak berwajib.

"Kita juga akan cuba aturkan pertemuan dengan agensi-agensi terlibat selepas sesi 'townhall' dengan kerajaan negeri," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau menjelaskan, inisiatif tersebut sebagai Jabatan Alam Sekitar (JAS) memantau kawasan-kawasan terlibat, secara tidak langsung menjadi mata serta telinga untuk bersama-sama menyelesaikan isu pencemaran yang membelenggu penduduk.

Katanya lagi, borang aduan itu boleh diisi pada bila-bila masa selain mendidik penduduk Pasir Gudang peka terhadap keadaan sekeliling.