Tun Mahathir boleh terus jadi PM jika dapat persetujuan PH

Johari Abdul. -Foto Sinar Harian SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Johari Abdul. -Foto Sinar Harian SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A
A

SUNGAI PETANI - Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad boleh memerintah negara selama-lamanya selagi ia mendapat persetujuan empat pimpinan Pakatan Harapan (PH).

Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR Kedah, Datuk Johari Abdul berkata, Dr Mahathir boleh menerajui negara selama mana pun beliau mahu namun haruslah melalui persetujuan dari Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Parti Amanah Negara (Amanah) dan DAP.

Menurutnya, sekiranya keputusan tidak dicapai maka pemimpin itu harus akur dengan perjanjian yang telah dibuat pimpinan PH sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

"Dr Mahathir boleh memerintah selama-lamanya selagi keputusan dibuat empat pimpinan PH, selagi tiada keputusan baharu, keputusan yang lama masih terpakai iaitu beliau akan memerintah dua tahun," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan ke Majlis Hari Terbuka Yayasan Orphancare Sungai Petani hari ini.

Johari berkata, beliau bagaimanapun akur sekiranya pimpinan PH telah berbincang dan bersepakat untuk bersetuju melanjutkan tempoh Perdana Menteri ketujuh itu.

"Kalau keputusan sebaliknya itu terpulang, lima tahun atau 10 tahun, itu bukan masalah saya, bergantung kepada keputusan empat pimpinan.

"Saya sebagai pemimpin di bawah saya akur, sudah tentu saya ada pandangan berbeza. Sesiapa tak setuju buat parti baharulah, kita demokrasi," katanya.

Artikel Berkaitan:

Namun apabila ditanya sokongan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang bersetuju Dr Mahathir memerintah sehingga habis penggal, beliau berpendapat, itu hanyalah pandangan peribadi Azmin.

"Saya nak mengingatkan Azmin bahawa dia juga memetik pandangan UMNO dan Pas. Kenapa harus Azmin perlu mengiyakan pandangan UMNO dan Pas sedangkan kedua parti itu bukan berada dalam PH," katanya.