Poster pelancongan Perak ditegur ketepikan bahasa Melayu

Poster yang dimuat naik dalam laman Facebook Tourism Perak, sejak semalam itu tular menyebabkan warganet melahirkan rasa tidak puas hati.
Poster yang dimuat naik dalam laman Facebook Tourism Perak, sejak semalam itu tular menyebabkan warganet melahirkan rasa tidak puas hati.
A
A
A

IPOH - Poster Duta Pelancongan Perak yang menampilkan penyanyi antarabangsa kelahiran Ipoh, Michael Wong ditegur apabila tidak menggunakan bahasa Melayu sebaliknya memaparkan promosi dalam bahasa Inggeris dan Mandarin.

Poster yang dimuat naik dalam laman Facebook Tourism Perak, sejak semalam itu tular menyebabkan warganet melahirkan rasa tidak puas hati.

Rata-rata mereka menyifatkan sebagai agensi kerajaan, setiap promosi program haruslah mendahulukan bahasa Kebangsaan dan barulah diikuti bahasa-bahasa lain.

Menjelaskan perkara tersebut, Exco Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan negeri, Tan Kar Hing berkata, bahan-bahan seperti poster, banting dan risalah yang dihasilkan bagi memperkenalkan Duta Pelancongan Perak itu hanyalah untuk tujuan promosi semata-mata.

Menurutnya, ia tidak bermaksud mahu meminggirkan bahasa Kebangsaan, tetapi sebagai satu strategi pemasaran memperkenalkan Perak kepada negara luar iaitu China.

Tan Kar Hing menjelaskan isu berkenaan (tengah) pada sidang media hari ini.
Tan Kar Hing menjelaskan isu berkenaan (tengah) pada sidang media hari ini.

"Dalam hal ini kita utamakan bahasa Inggeris dan Mandarin kerana sasaran pasaran kita adalah di China, apabila Michael Wong atau media luar negara membuat posting dan perkongsian video serta poster, pelancong dan peminat di sana akan lebih faham apa isi kandungannya.

"Agak susah untuk kita meletakkan semua bahasa dalam satu (promosi) kerana ia ada kaitan dengan 'design' juga, paling penting kita mahu orang luar negara memahami maksud yang kita nak sampaikan dalam bahasa ringkas dan jelas," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, kerajaan negeri bersedia menambah baik kandungan-kandungan bahan promosi mengikut keperluan seperti penggunaan bahasa Tamil, Jepun atau Korea memandangkan tidak semua dapat memahami hanya dengan satu bahasa.

"Sepatutnya tidak timbul sebarang isu, Michael Wong sendiri fasih berbahasa Melayu, Inggeris dan Kantonis, apa yang kita lakukan ini hanyalah berkaitan soal peminat beliau di China," katanya.

Michael Wong dilantik sebagai Duta Pelancongan Perak selaras dengan sasaran kerajaan negeri menarik kehadiran lebih ramai pelancong dari Asia Timur.
Michael Wong dilantik sebagai Duta Pelancongan Perak selaras dengan sasaran kerajaan negeri menarik kehadiran lebih ramai pelancong dari Asia Timur.

Terdahulu, Kar Hing ditemui pada sidang media Duta Pelancongan Perak yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Perak, Zuraida Md Taib.

Dalam majlis itu, Michael Wong yang merupakan penyanyi terkenal di kawasan Asia Timur terutama China dan Taiwan diumum sebagai Duta Pelancongan Perak selama dua tahun bermula 1 Ogos 2019 hingga 31 Julai 2021.

Pelantikan artis yang popular dengan lagu Fairy Tale (Tong Hua) itu adalah bersempena pelancaran penerbangan Ipoh-Guangzhou yang bakal bermula 1 Oktober ini yang mana menyaksikan Perak menyasarkan kehadiran lebih ramai pelancong dari Asia Timur untuk berkunjung ke negeri ini.