Kes rasuah Ku Nan: Pendakwaan tutup kes, hujahan 4 Oktober

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Selepas 12 hari perbicaraan dengan 23 saksi dipanggil memberi keterangan, pihak pendakwaan hari ini menutup kes bekas Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang didakwa menerima rasuah RM2 juta daripada seorang ahli perniagaan, Tan Sri Chai Kin Kong.

Timbalan Pendakwa Raya Julia Ibrahim memaklumkan demikian selepas Penguasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Muhamad Saad Bordani, 37, selesai memberi keterangan di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini.

Julia berkata pihak pendakwaan turut menawarkan beberapa saksi daripada pegawai Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan SPRM kepada pihak pembelaan sekiranya tertuduh dipanggil membela diri terhadap pertuduhan itu.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan menetapkan 4 dan 11 Okt depan untuk kedua-dua pihak berhujah.

"Mahkamah juga menetapkan pada atau sebelum 3 Sept ini untuk kedua-dua pihak memfailkan hujahan bertulis manakala hujahan balas perlu difailkan pada atau sebelum 18 September,” kata hakim itu.

Perbicaraan kes Tengku Adnan bermula pada 2 Julai lepas dengan 23 saksi pendakwaan termasuk bekas Datuk Bandar Kuala Lumpur Tan Sri Ahmad Phesal Talib dan Tan Sri Mohd Amin Nordin Abd Aziz serta Chai, yang merupakan pengarah urusan Syarikat Aset Kayamas Sdn Bhd dipanggil memberi keterangan.

Pada 23 Jan lepas, Tengku Adnan,68, mengekalkan pengakuan tidak bersalah di hadapan Hakim Mohamed Zaini selepas pertuduhan dibacakan semula semasa sebutan kali pertama kes itu setelah kesnya dibenar dipindahkan dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi pada 14 Dis 2018.

Mengikut pertuduhan, Tengku Adnan sebagai seorang penjawat awam iaitu Menteri Wilayah Persekutuan didakwa menerima untuk dirinya wang berjumlah RM2 juta daripada ahli perniagaan, Chai melalui cek Hong Leong Islamic Bank milik syarikat Aset Kayamas.

Artikel Berkaitan:

Cek itu didepositkan ke dalam akaun CIMB Bank milik Tadmansori Holdings Sdn Bhd yang Tengku Adnan mempunyai kepentingan, yang diketahui syarikat Aset Kayamas ada perhubungan dengan kerja-kerja rasminya.

Tengku Adnan dituduh melakukan perbuatan itu di CIMB Bank Berhad, Cawangan Pusat Bandar Damansara, di sini pada 14 Jun 2016, mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan. -Bernama