Lelaki nekad langgar polis

No Image Caption
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang lelaki nekad melanggar anggota polis ketika cuba melarikan diri dalam serbuan di sebuah port dadah di kawasan Padang Nenas, Kuala Nerus, Isnin lalu.

Akibat pelanggaran itu, anggota berpangkat koperal mengalami kecederaan sehingga menyebabkan bahagian telinga kiri terbelah sebelum dihantar mendapatkan rawatan susulan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini.

Manakala suspek yang juga lelaki tempatan berusia 34 tahun itu hanya bengkak di lengan kiri, luka di lutut kiri dan bengkak di pipi kanannya.

Tindakan lelaki terbabit untuk lolos bagaimanapun gagal apabila dia berjaya diberkas selepas berlaku pergelutan sejurus motosikal jenis Honda NSC berwarna hitam terbabas ke dalam semak berhampiran.

Menurut sumber, sebelum kejadian, kira-kira jam 9 pagi, mangsa bersama beberapa anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu sedang menjalankan serbuan di lokasi.

Ketika itu, suspek yang sedang menunggang motosikal di sekitar lokasi didapati berada dalam keadaan mencurigakan.

"Sejurus dihampiri dan memperkenalkan diri, suspek terus bertindak memecut kenderaannya dan terus melanggar mangsa sebelum terbabas," katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Razmi Mohd Gunnos ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan bunuh.

Artikel Berkaitan: