Geng samun mangsa Rohingya tumpas

Mohamad Noor (tengah) menunjukkan pistol tiruan yang digunakan suspek ketika ditemui (IPD) Kuantan di sini hari ini.
Mohamad Noor (tengah) menunjukkan pistol tiruan yang digunakan suspek ketika ditemui (IPD) Kuantan di sini hari ini.
A
A
A

KUANTAN - Polis menumpaskan kumpulan yang aktif melakukan jenayah samun dan ragut mangsa etnik Rohingya di Jalan Pintasan Bukit Setongkol di sini selepas menahan enam lelaki tempatan dalam serbuan berasingan pada 26 Julai lalu.

Kumpulan berkenaan terdiri daripada pekerja swasta dan pelajar kolej melakukan jenayah samun dan ragut dengan menunggang motosikal serta menyasarkan mangsa etnik Rohingya yang berjalan berseorangan.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, tangkapan kedua-dua suspek berusia 18 sehingga 19 tahun itu adalah hasil daripada risikan dan siasatan lanjut polis susulan kejadian samun yang dilaporkan pada Mac lalu.

Menurutnya, polis menerima laporan kejadian samun dan ragut di Jalan Pintasan Bukit Setongkol pada awal Mac lalu membabitkan orang Rohingya yang mendakwa telah diugut sebelum wang tunai dan motosikal miliknya dilarikan.

"Selain itu, terdapat seorang peniaga tempatan turut disamun.

"Susulan kejadian itu, kita telah melancarkan Op Samun Pintasan dan pada mulanya kita berjaya menahan seorang lelaki di Bukit Setongkol.

"Selepas siasatan dilakukan, kita berjaya menahan lima lagi suspek warga tempatan di Cenderawasih dan Indera Mahkota

"Ujian saringan air kencing mendapati kesemua suspek negatif dadah dan tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan di sini hari ini.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, hasil daripada tangkapan itu, polis turut merampas tiga motosikal dan sebuah kereta yang dipercayai digunakan suspek untuk kegiatan samun.

“Siasatan mendapati, modus operandi suspek adalah melakukan kegiatan samun dan ragut sekitar jam 4 pagi sehingga 6 pagi dan mensasarkan orang Rohingya sebagai mangsa.

“Mereka dipercayai aktif melakukan kegiatan jenayah itu di Jalan Pintasan Bukit Setongkol sejak Mac lalu dan suspek menyamun tidak menggunakan senjata tetapi menggunakan kekerasan menyebabkan mangsa takut.

"Kesemua suspek kini direman sehingga 6 Ogos ini untuk membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan,” katanya.

Katanya, dengan tertangkapnya enam suspek itu, polis telah berjaya menyelesaikan 13 kes samun dan ragut di Jalan Pintasan Bukit Setongkol.

Sementara itu, dalam kes berasingan, Mohamad Nor berkata, polis berjaya menahan seorang pembantu kedai emas yang memiliki sepucuk pistol tiruan di hadapan sebuah kedai emas di Jalan Mahkota di sini Sabtu lalu.

Beliau berkata, suspek ditahan oleh pihak polis selepas berada dalam keadaan mencurigakan di hadapan kedai emas tersebut dan pemeriksaan fizikal mendapati terdapat pistol yang diselit di bahagian belakang pinggangnya.

"Kita telah menjumpai pistol tiruan yang berjenama Glock 19 austria 9x19 beserta kelopak dan siasatan awal kita mendapati mangsa telah memiliki pistol itu selama tiga bulan yang diambil dengan kawannya di Kelantan.

"Siasatan masih kita teruskan bagi mengenal pasti tujuan suspek memiliki senjata tersebut dan adakah suspek terlibat dalam gengsterism dan kes jenayah lain.

"Kes ini disiasat di bawah Seksyen 36 (1) Akta Senjata 1969 kerana memiliki senjata tiruan yang boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih setahun atau didenda tidak lebih RM5,000 atau kedua-duanya sekali," katanya