Konsep dana insurans bagi transaksi tanah elak penipuan

Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli
A
A

PUTRAJAYA - Kerajaan bersetuju secara prinsip cadangan mewujudkan konsep dana insurans bagi transaksi tanah, kata Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli.

Kementerian itu dalam kenyataan hari ini berkata insurans itu diwujudkan bagi urusan pendaftaran tanah untuk mengelak berlakunya kes-kes penipuan dalam urusan pendaftaran hak milik.

"Oleh kerana pada masa ini terdapat banyak kes melibatkan penipuan dan pemalsuan hak milik, maka konsep dana insurans akan dikaji supaya kerugian kepada pemilik-pemilik yang terlibat boleh dielakkan," katanya.

Menurut kementerian berkenaan, perkara itu dipersetujui dalam Mesyuarat ke-75 Majlis Tanah Negara (MTN) yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail di Perdana Putra, di sini hari ini.

MTN turut bersetuju dengan cadangan pindaan Akta Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955 untuk meningkatkan bidang kuasa nilaian pejabat pusaka daripada RM2 juta kepada RM5 juta, kata kementerian itu.

Menurut kementerian itu, cadangan pindaan akta itu juga bagi menghapuskan syarat keperluan untuk memiliki harta tak alih dan membenarkan permohonan pusaka difailkan di mana-mana pejabat pusaka di dalam negeri di mana harta tak alih itu berada.

"Pindaan ini akan lebih memudahkan rakyat untuk memfailkan permohonan pusaka seterusnya menyelesaikan masalah pembahagian pusaka di kalangan waris," jelas kementerian itu.

MTN juga bersetuju dengan cadangan konsep Perserahan dan Pendaftaran Secara Elektronik (OPR) sepenuhnya yang akan membolehkan semua urusan perserahan dan pendaftaran hak milik pada masa hadapan dibuat di kaunter-kaunter pejabat tanah dan juga secara dalam talian.

"Ini seiring dengan tujuan kerajaan untuk menambah baik penyampaian awam dan memudahkan urusan-urusan tanah di seluruh negara," kata kementerian itu.

MTN turut bersetuju dengan cadangan pindaan Kanun Tanah Negara bagi mengeluarkan permit bahan batuan yang antara lain akan memberikan lebih kuasa kepada pentadbir-pentadbir tanah untuk memberhentikan kerja-kerja pengeluaran bahan batuan yang merosakkan ekosistem alam sekitar.

Menurut kementerian itu, ulasan-ulasan daripada jabatan-jabatan teknikal pula dijadikan sebagai syarat mandatori sebelum permit pengeluaran bahan batu diberikan.

"Ini boleh mengawal masalah kerosakan alam sekitar disebabkan oleh operasi-operasi pengeluaran bahan batuan yang berlebihan," katanya.

MTN juga bersetuju supaya kerajaan-kerajaan negeri mengekalkan pewartaan hutan tadahan air yang telah dibuat sebelum ini iaitu sebanyak 809,823 ekar (327,723.7 hektar).

Kementerian itu berkata terdapat tiga negeri yang masih belum menyelesaikan baki pewartaan itu iaitu Johor, Perak dan Pulau Pinang dengan jumlah keseluruhan kawasan hutan tadahan air yang belum diwartakan ialah seluas 139,290 ekar (56,368.7 hektar).

"Tujuan pewartaan ini adalah untuk menjaga sumber air dan hutan negara kita daripada diceroboh dan dijadikan kawasan-kawasan pembangunan," kata kementerian itu.

Menurut kementerian itu, Dr Wan Azizah dalam mesyuarat itu menekankan kepentingan pewartaan kawasan hutan tadahan air dan telah memohon supaya kerajaan negeri mengambil tindakan segera kerana dikhuatiri kawasan itu akan terjejas dengan pembangunan yang seterusnya mengancam sumber hutan dan air negara. -Bernama


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia