Kerajaan diminta pertimbang stesen ECRL Tok Bali untuk penumpang, kargo

No Image Caption
A
A
A

PASIR PUTEH - Kerajaan Persekutuan diminta mempertimbangkan rayuan kerajaan Kelantan yang mahukan stesen Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Tok Bali di sini, berfungsi untuk perkhidmatan penumpang dan kargo.

Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Kelantan, Datuk Kamaruddin Md Nor berkata ia penting kerana ramai penduduk di Kelantan adalah usahawan dan memerlukan pengangkutan yang cepat untuk menghantar produk mereka ke negeri-negeri pantai Barat.

“Kerajaan boleh menjadualkan laluan antara gerabak kargo dan penumpang secara berasingan tetapi menggunakan rel yang sama bagi menjimatkan kos dan masa perjalanan.

“Kalau guna keretapi yang sama untuk penumpang dan kargo mungkin akan menambah masa perjalanan,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.

Semalam, Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob dilaporkan merayu agar kerajaan Persekutuan membina ECRL di Tok Bali dengan fungsi stesen muatan kargo dan penumpang.

Kamaruddin berkata kerajaan Persekutuan juga perlu mempertimbangkan tambang yang kompetitif agar ECRL mampu bersaing dengan pengangkutan darat dan udara.- Bernama

Artikel Berkaitan: