Lebih 42,000 hektar tanah hutan terbakar di Indonesia sejak Januari

Foto AFP
Foto AFP
A
A
A

JAKARTA - Lebih 42,000 hektar kawasan hutan dan ladang direkodkan terbakar sejak Januari lepas di Indonesia.

Ketika ini, beratus-ratus hektar dilaporkan masih terbakar melibatkan enam provinsi atau wilayah dan beberapa kabupaten (daerah) di seluruh Indonesia.

Menurut laporan agensi berita Antara, pihak berkuasa Indonesia kini bertungkus lumus memadamkan kebakaran di provinsi Riau, Kalimantan Barat, Jambi, Sumatera Selatan, Kalimantan Tengah dan Kalimantan Selatan serta daerah Kota Dumai, Sambas, dan Ogan Komering Ilir.

Lebih 6,000 petugas pemadam kebakaran yang turut dibantu polis dan tentera kini ditugaskan memadam kebakaran itu, selain pihak berkuasa turut menggunakan helikopter pengebom air.

Kebakaran hutan dan ladang di Indonesia untuk tujuan pertanian, selain akibat pembakaran terbuka, bukanlah perkara baharu dan hampir setiap tahun berlaku sehingga menyebabkan pelbagai masalah termasuk jerebu yang turut menjejaskan negara lain seperti Malaysia dan Singapura.

Berdasarkan data yang disiarkan Kementerian Lingkungan Hidup dan Kehutanan (KLHK), sejak Januari hingga Mei 2019, kawasan hutan dan ladang yang terbakar adalah seluas 42,740 hektar.

Sementara itu, Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofisika Indonesia (BMKG) meramalkan musim kemarau sejak Jun lepas di Indonesia dijangka akan berterusan sehingga Oktober ini, dibimbangi akan memburukkan lagi keadaan.- Bernama

Artikel Berkaitan: