Amirudin belum terima surat tunjuk sebab

Amirudin
A
A

SHAH ALAM - Pengerusi PKR Selangor, Amirudin Shari berkata, beliau belum menerima surat tunjuk sebab untuk mengadap Lembaga Disiplin parti bagi memberikan penjelasan berhubung segala isu berbangkit.

Kenyataan tersebut dibuat selepas seminggu beliau menyatakan kesediaan meskipun belum mengetahui perkara yang perlu dijelaskan kepada lembaga tersebut.

"Tak ada tak sampai lagi (surat tunjuk sebab). Setakat ini belum lagi.

"Alhamdulillah belum ada lagi (panggilan daripada Lembaga Disiplin PKR)," katanya ketika ditemui pemberita pada 10th University Scholars Leadership Symposium di sini hari ini.

Nama Amirudin mula diperkatakan selepas Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil memaklumkan, mesyuarat Biro Politik meminta Lembaga Disiplin parti menghubunginya, termasuk Setiausaha Politik kepada Anwar Ibrahim, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak dan beberapa anggota parti lain.

Media turut melaporkan Amirudin dipanggil ke Lembaga Disiplin PKR bagi memberikan penjelasan berhubung ucapan yang dibuatnya pada majlis solat hajat di kediaman rasminya sebelum ini.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Menteri Besar Selangor turut mengulas pertemuan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) negeri bersama dengan Naib Presiden PKR Zuraida Kamaruddin di kediaman rasminya malam tadi.

Beliau menafikan pertemuan yang dibuat ada kaitan dengan video intim mengaitkan seorang menteri Kabinet sebaliknya bagi membincangkan isu perumahan bersama menteri perumahan dan kerajaan tempatan.

“Tidak ada bincang (mengenai isu kedudukan sesiapa dalam parti). Namun yang saya tahu isu Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan. Saya datang sekejap dan keluar kerana ada urusan lain,” katanya.

Antara ADUN yang hadir pada perjumpaan itu adalah Azmizan Zaman Huri (Pelabuhan Klang); Muhammad Hilman Idham (Gombak Setia); Adhif Syan Abdullah (Dengkil); Mohd Zawawi Ahmad Mughni (Sungai Kandis) dan Mohd Khairuddin Othman (Paya Jaras).


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia