Felcra akan agih dividen RM27.6 juta: Azmin

Mohamed Azmin Ali
Mohamed Azmin Ali
A
A
A

SHAH ALAM - Felcra akan mengagihkan dividen keuntungan berjumlah RM27,589,726.48 kepada 46,922 pesertanya di seluruh negara.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, jumlah keuntungan yang diagihkan itu diperolehi daripada keuntungan bersih ladang-ladang milik peserta yang diurus dan dimajukan oleh Felcra melibatkan 509 buah projek.

Menurutnya, Felcra bertanggungjawab untuk menguruskan 220,086 hektar bagi 112,454 peserta yang merangkumi kira-kira 1,774 projek di seluruh negara.

"Bagi Agihan Keuntungan Interim 1/2019, Felcra memperuntukkan 70 peratus daripada jumlah keuntungan hasil ladang bagi tempoh Januari hingga April 2019 untuk diagihkan kepada peserta yang terlibat.

"Baki 30 peratus akan diagih bersekali dengan bayaran Agihan Keuntungan Akhir pada April 2020 nanti," katanya dalam satu kenyataan akhbar hari ini.

Tambahnya, pengurusan Felcra telah melaksanakan tanggungjawab dengan sebaiknya bagi memastikan purata produktiviti ladang sentiasa berada pada tahap optimum.

"Usaha ini adalah untuk mengimbangi pendapatan yang terjejas akibat penurunan harga komoditi pasaran sedunia.

"Menerusi usaha ini, Felcra akan memastikan supaya bayaran Agihan Keuntungan Interim 1/2019 kepada peserta dapat dilaksanakan mengikut jadual dan masa yang ditetapkan," katanya.

Artikel Berkaitan: