Jerebu: Kurangkan aktiviti fizikal, luar bangunan

Dr Noor Hisham Abdullah
Dr Noor Hisham Abdullah
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Kesihatan menasihatkan orang ramai yang berada di kawasan merekodkan kualiti udara tidak sihat akibat jerebu susulan kebakaran hutan di Indonesia supaya mengurangkan aktiviti fizikal yang menyebabkan peningkatan kadar pernafasan dan metabolisma badan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ini berikutan ia boleh meningkatkan risiko penyakit akibat jerebu dan cuaca panas.

Beliau juga meminta orang ramai supaya mengurangkan aktiviti di luar bangunan atau menggunakan penutup hidung dan mulut, payung dan topi sekiranya berada di luar rumah.

"Orang ramai juga perlu menutup tingkap bagi mengurangkan asap jerebu masuk ke dalam rumah atau bangunan dan mengelakkan aktiviti yang boleh meningkatkan pencemaran udara dalam rumah atau bangunan dengan tidak merokok dan sentiasa membersihkan persekitaran dalaman," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan orang ramai untuk lebih kerap meminum air kosong bagi mengekalkan tahap hidrasi dan mendapatkan rawatan segera sekiranya tidak sihat.

Tambah Dr Noor Hisham, orang awam boleh mendapatkan langkah pencegahan bagi mengurangkan kesan kesihatan akibat jerebu dan cuaca panas menerusi laman sesawang kementerian di https://www.infosihat.gov.my/index.php/isu-semasa/51 jerebu, http://www.moh.gov.my/index.php/pages/view/183 dan http://www.myhealth.gov.my/cuaca-panas-a-kesihatan/.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) melaporkan, beberapa negeri bakal berdepan tempias jerebu berterusan dalam tempoh tujuh hari berikutan monsun Barat Daya dengan cuaca kering dan stabil, susulan kebakaran hutan di lima wilayah di Indonesia.

Jerebu yang merentas sempadan dari Sumatera boleh mempengaruhi keadaan terutama di Kuala Lumpur, Selangor, Putrajaya dan di sebelah utara semenanjung seperti Pulau Pinang.

Artikel Berkaitan:

Menurut data yang dikeluarkan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) menerusi laman sesawang Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), setakat jam 10 pagi tadi, bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di seluruh negara berada di tahap sederhana kecuali Kuala Terengganu yang merekodkan bacaan tahap tidak sihat iaitu 114.