Papan tanda larangan merokok di 5,206 premis makanan di Sabah

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KOTA KINABALU - Sebanyak 5,206 premis makanan di negeri ini telah memasang papan tanda larangan merokok daripada 5,704 premis yang diperiksa oleh Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS).

Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Frankie Poon Ming Fung berkata pemeriksaan itu dijalankan sejak pewartaan premis makanan bermula 1 Januari lepas.

Katanya, sebanyak 1,444 penguatkuasaan pendidikan telah dijalankan dengan 498 notis amaran dikeluarkan kepada premis makanan yang tidak memasang papan tanda dan 14 notis amaran kepada perokok yang merokok di premis makanan.

Menurutnya dalam meningkatkan kesedaran berhubung pewartaan larangan merokok di premis makanan itu, sejumlah 262 sesi taklimat pendidikan telah dilaksanakan.

JKNS akan meneruskan pemantauan bagi memastikan menjelang Disember 2019, 100 peratus premis makanan di negeri ini mempunyai tanda larangan merokok, katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Poon berkata mesyuarat jemaah menteri negeri pada 24 Julai lepas telah bersetuju dengan pelanjutan penguatkuasaan secara pendidikan sehingga 31 Disember ini.

Katanya ini bagi memberikan peluang yang secukupnya kepada perokok untuk meningkatkan pengetahuan tentang larangan merokok dan seterusnya turut mengambil keputusan untuk tidak merokok di premis makanan yang dilarang di bawah Peraturan 11, Peraturan-Peraturan Kawalan, Hasil Tembakau (PPKHT) 2004.

Menurutnya dalam tempoh masa pelanjutan, kementeriannya juga akan berbincang dengan pihak berkuasa tempatan untuk menentukan kawasan merokok di luar premis makanan.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Poon berkata perokok yang ingin berhenti merokok boleh mengikuti Program Berhenti Merokok yang disediakan di Klinik Berhenti Merokok.

Katanya di Sabah terdapat 23 hospital, 58 klinik kesihatan dan 12 fasiliti swasta yang menawarkan perkhidmatan berhenti merokok melalui perkhidmatan mQuit.- Bernama