Lelaki Nepal maut digilis lori mengundur

Polis sedang mengangkat mayat mangsa.
Polis sedang mengangkat mayat mangsa.
A
A
A

KLUANG – Seorang lelaki warganegara Nepal maut selepas dilanggar sebuah lori yang mengundur di tapak pembinaan Projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas-Johor Bahru (PLBEGJB) di Jalan Mengkibol, petang semalam.

Ketua Polis Kluang, Asisten Komisioner Mohd Abduh Ismail berkata, dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, mangsa yang maut dikenali sebagai Surendra Limbu, 37, dan merupakan pekerja di kawasan pembinaan tersebut.

“Nahas dipercayai berlaku apabila pemandu lori tipper dummer yang dipandu seorang lelaki tempatan berumur 59 tahun sedang mengundur dan tidak perasan kehadiran mangsa di belakang lorinya.

“Akibat perlanggaran tersebut, mangsa digilis lori tersebut dan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan beberapa lagi anggota badan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, mayat mangsa kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Enche Besar Hajjah Kalsom (HEBHK) Kluang untuk dibedah siasat selain waris mangsa juga telah dimaklumkan mengenai kejadian berkenaan.

Katanya, pemandu lori juga tidak mengalami sebarang kecederaan dan kini ditahan untuk bantu siasatan.

“Kes disiasat di bawah Sekysen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan saya menasihatkan pekerja-pekerja di kawasan pembinaan supaya mematuhi setiap arahan keselamatan yang dikeluarkan bagi memastikan kejadian seperti ini tidak berulang,” katanya.

Artikel Berkaitan: