PNB umum pelantikan lembaga pengarah baharu

PNB
A
A

KUALA LUMPUR – Permodalan Nasional Bhd (PNB) hari ini mengumumkan perubahan dalam barisan ahli lembaga pengarahnya menerusi pelantikan empat individu berkuat kuasa 1 Januari 2019 susulan persaraan tiga ahlinya.

Ahli lembaga pengarah baharu itu terdiri daripada Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Ahmad Badri Mohd Zahir, bekas hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Zainun Ali, bekas timbalan ketua eksekutif Suruhanjaya Sekuriti, Datuk Nik Ramlah Nik Mahmood dan Pengerusi Mitraland Group dan Pelaburan Hartanah Nasional Bhd, Datuk Johan Ariffin, menurut syarikat pengurusan dana itu dalam kenyataan hari ini.

Menurut PNB, Tan Sri Ali Hamsa, Tan Sri Wan Abdul Aziz Wan Abdullah dan Tan Sri Zarinah Anwar akan bersara pada 31 Disember ini.

Ketika ini Nik Ramlah merupakan ahli lembaga pengarah Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB) manakala Johan ialah ahli lembaga pengarah di beberapa syarikat awam tersenarai, termasuk Sime Darby Property Bhd.

Sambil mengalu-alukan barisan ahli lembaga pengarah baharu itu, Pengerusi Kumpulan PNB Tan Sri Zeti Aziz berkata, mereka mempunyai pengalaman luas dan saling melengkapi dalam bidang pelaburan, undang-undang dan ekonomi selain hartanah.

“PNB berhasrat mendapatkan sumbangan mereka memandangkan kami akan terus memberi tumpuan untuk memperkukuh daya tahan dan menyampaikan mandat kami untuk meningkatkan kekayaan ekonomi masyarakat Bumiputera dan seluruh rakyat Malaysia,” katanya.

PNB turut mengumumkan persaraan Profesor Tan Sri Noor Azlan Ghazali sebagai ahli lembaga pengarah ASNB dan PNB Research Institute Sdn Bhd, berkuat kuasa 31 Disember 2018.

Selain Zeti dan ahli baharu, lembaga pengarah PNB akan turut dibarisi Datuk Abdul Rahman Ahmad (presiden dan ketua pegawai eksekutif), Datuk Mohd Yaakub Johari dan Datuk Soedirman Aini bermula 1 Januari 2019.

Lembaga pengarah ASNB juga akan melibatkan Zeti, Abdul Rahman, Mohammad Hussin (ketua pegawai eksekutif ASNB dan pengarah eksekutif), Datuk Seri Nik Norzrul Thani Nik Hassan Thani dan Nik Ramlah yang akan berkuat kuasa pada tarikh yang sama. - Bernama


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia