Teknologi 'Disruptive’ satu cabaran

A
A
A

ISTILAH disruptive technology atau teknologi mengganggu, kali pertama digunakan profesor Harvard Business School, Clayton M Christensen pada 1995. Pada ketika itu, istilah disruptive technology lebih banyak dikaitkan dengan industri permotoran di Amerika Syarikat.

Namun, pertengahan bulan lalu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed telah melontar istilah disruptive technology ketika berucap pada Sidang Kemuncak Beyond Paradigm 2019 di Malaysia International and Exhibition Centre (MITEC).

Sebagai seorang yang sering terlibat dalam dunia permotoran di Malaysia, penulis cuba mendalami istilah disruptive technology. Secara kasar, Christensen merumus disruptive technology sebagai satu prosedur terbaru bagi menggantikan teknologi mantap sedia ada demi merancakkan produk sedia ada sekali gus mewujudkan industri baharu yang lebih mantap.

Kalau kita mengupas istilah ini daripada sudut teori perniagaan, ia bermaksud inovasi yang bertujuan untuk mewujudkan rangkaian pasaran dan nilai baharu. Namun ia menggugat rangkaian pasaran dan nilai sedia ada serta menggantikan firma, produk atau pakatan perniagaan sedia ada.

Sebenarnya, penulis sangat bersetuju dengan saranan Tun Dr Mahathir. Masa tidak menyebelahi kita. Kini Malaysia mensasarkan 2030 untuk muncul sebagai negara maju. Bagaimanapun, masih ramai tidak faham maksud sebenar Industrial Revolution 4.0 (IR 4.0) atau Artificial Intelligence (AI).

Malah, penulis percaya ada pihak yang belum memahami maksud keperluan tenaga high skilled. Dr Mahathir menyebut 65 peratus daripada murid hari ini perlu bersedia meneroka bidang baharu kerana mereka bakal bekerja dalam bidang yang berlainan rupa bentuknya jika dibandingkan dengan keperluan ketika ini. Mereka perlu mewujudkan produk baharu yang belum wujud di pasaran pekerjaan ketika ini.

Perdana Menteri percaya kemahiran masyarakat pada pelbagai peringkat perlu didedahkan dengan keperluan pasaran baru yang dicipta hasil daripada pembangunan disruptive technology. Peningkatan semula kemahiran tinggi ini pada semua peringkat amat penting bagi memastikan kejayaan dalam landskap ekonomi kita untuk tahun-tahun akan datang bagi mencapai tahap ekosistem negara maju.

Perbezaan tentang orang yang berilmu atau buta huruf telah disebut dalam Surah Az-Zumar [39:9] bermaksud, “(Apakah kamu hai orang musyrik yang lebih beruntung) ataukah orang yang beribadah di waktu-waktu malam dengan sujud dan berdiri, sedang ia takut kepada (azab) akhirat dan mengharapkan rahmat Tuhannya? Katakanlah: "Adakah sama orang yang mengetahui dengan orang yang tidak mengetahui? Sesungguhnya orang yang berakallah yang dapat menerima pelajaran.”

Artikel Berkaitan:

Disruptive technology ialah teknologi asas kepada produk dan sistem yang kreatif bagi penggunaan baharu seterusnya mencipta pasaran baharu. Secara langsung dan tidak langsung kita perlu meningkatkan kemahiran dalaman kepada kemahiran yang lebih tinggi dan profesional supaya industri sekarang dapat direvolusikan ke peringkat yang lebih tinggi yang diintegrasikan oleh sistem AI yang mampu menandingi kemampuan manusia, bukan hanya bermaksud pembangunan robot sahaja sudah mencapai tahap IR 4.0 sebagaimana yang difahami kebanyakan rakyat Malaysia ketika ini.

Teknologi berinovasi bukan sekadar memudahkan cara kita bekerja tetapi sebenarnya mampu untuk meningkatkan tahap kecemerlangan dan kejayaan seseorang individu, kumpulan masyarakat seterusnya kemajuan negara. Ini dijelaskan dalam al-Quran Surah Al-Mujaadilah [58.11] bermaksud, “Hai orang yang beriman, apabila dikatakan kepadamu: "Berlapang-lapanglah dalam majlis", maka lapangkanlah, nescaya ALLAH akan memberi kelapangan untukmu. Dan apabila dikatakan: "Berdirilah kamu, maka berdirilah, nescaya ALLAH akan meninggikan orang yang beriman di antaramu dan orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat. Dan ALLAH Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.”

Maksud sebenar teknologi adalah untuk meningkatkan kemahiran kita melakukan sesuatu kerja yang lebih kompleks dan sukar dilaksanakan oleh manusia biasa dengan berpandukan kepada sifat asas kejadian manusia. Ini telah diperingatkan ALLAH dalam Surah Al-An’aam [6:46] yang maksudnya, “Katakanlah: Terangkanlah kepada ku jika ALLAH mencabut pendengaran dan penglihatan serta menutup hatimu, siapakah tuhan selain ALLAH yang kuasa mengembalikannya kepadamu?

"Perhatikanlah, bagaimana Kami berkali-kali memperlihatkan tanda-tanda kebesaran (Kami), kemudian mereka tetap berpaling.”

Justeru, kita harus lebih berani untuk meneroka teknologi yang berkonsepkan disruptive bukannya destructive (merosakkan) supaya Malaysia lebih produktif dan kompetitif.