Pemandu grab diacu pisau, disamun

Antara barang yang dirampas susulan tertangkapnya lima suspek di Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur, semalam.
Antara barang yang dirampas susulan tertangkapnya lima suspek di Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur, semalam.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang pemandu grab berdepan detik cemas selepas diacukan sebilah pisau dan diugut untuk menyerahkan barang berharganya dalam kejadian berhampiran Pusat Komuniti Komersial, Bandar Tun Razak, Cheras, di sini Sabtu lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 malam, mangsa seorang wanita berusia 31 tahun tiba-tiba didatangi dua lelaki bermotosikal yang cuba meragut beg silang mangsa, tetapi tidak berjaya selepas mangsa terus masuk ke dalam keretanya.

Ketua Polis Cheras, Asisten Komisioner Mokhsein Mohamed Zon berkata, suspek kemudian bertindak memecahkan cermin kereta mangsa sebelum mengacukan sebilah pisau.

Menurutnya, mangsa yang ketakutan kemudian telah menyerahkan beg silangnya berisi dokumen pengenalan diri, kad kredit, wang tunai RM200 serta dua telefon bimbit.

"Susulan itu, bertindak atas maklumat kira-kira jam 2.30 petang semalam, Ketua Polis Balai Sungai Besi bersama anggotanya telah pergi ke sebuah rumah di Bandar Tun Razak dan telah memeriksa tiga lelaki yang sedang mencuci motosikal curi.

"Pemeriksaan lanjut di dalam rumah berjaya menahan dua lagi lelaki," katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Beliau berkata, rampasan beberapa barang dibuat antaranya enam unit telefon bimbit, beg silang milik mangsa, parang (2), kad pengenalan dan lesen mangsa selain wang tunai RM1,500.

Katanya, semakan lanjut mendapati empat daripada suspek memiliki rekod lampau bersabit kes jenayah dan dadah.

Artikel Berkaitan:

"Ujian air kencing yang dijalankan juga mengesahkan kesemua suspek berusia lingkungan 27 hingga 31 positif dadah," katanya.

Tambahnya, suspek kini direman tujuh hari sehingga Rabu. Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan, Seksyen 379(A) Kanun Keseksaan, Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya.

"Siasatan diteruskan termasuk mengenal pasti penglibatan suspek dengan kes-kes samun atau ragut lain yang dilaporkan sebelum ini," katanya.