SPRM disyor pantau sektor perikanan, elak ‘kebocoran’

Dr Azman Ismail
A
A

ALOR SETAR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia disyor memantau sektor perikanan negara bagi memastikan sektor itu bebas rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

Ahli Parlimen Kuala Kedah, Dr Azman Ismail berkata, pihaknya bimbang dengan rungutan nelayan berhubung penguatkuasaan yang lemah, kemungkinan dibayangi elemen rasuah serta tindakan tidak profesional menyebabkan berlaku kebocoran dan penyelewengan.

Menurutnya, perkara itu amat merugikan rakyat dan negara khususnya nelayan tempatan.

“Perlu ada ketelusan dan penguatkuasaan yang profesional dalam sektor perikanan. Saya bimbang wujud tangan ghaib, khususnya kalangan pemodal besar menguasai industri ini, selain penggunaan pekerja asing sebagai kru bot menyebabkan rakyat tempatan terpinggir,” katanya.

Dr Azman berkata, pencerobohan vesel asing banyak dibangkitkan nelayan dan isu itu harus dilihat secara menyeluruh bagi mengesan sebarang unsur rasuah mahupun penyalahgunaan kuasa.

“Sektor ini harus bebas rasuah kerana nelayan menjadi mangsa. Pencerobohan nelayan asing yang berterusan merugikan nelayan tempatan yang terus dihimpit kemiskinan, apatah lagi mereka berdepan kekurangan tangkapan hasil laut,” katanya.

Menurutnya, pihaknya percaya pencerobohan vesel asing ada kaitan dengan gejala rasuah yang memungkinkan ‘jalan masuk’ ke perairan negara dibuka kepada mereka.

Beliau berharap penguatkuasaan terhadap pencerobohan bot asing harus tegas selain bersifat kemanusiaan agar hubungan baik sesama negara jiran dapat dikekalkan.

“Saya setuju cadangan kerajaan musnahkan bot asing, dengan syarat diputuskan melalui perbicaraan adil selain usaha penyelesaian yang munasabah.

"Kadar denda bawah Akta 317 yang dinaikkan daripada RM1 juta kepada RM6 juta diharap dapat kekang kehadiran vesel asing. Rompakan khazanah negara perlu dihentikan segera,” katanya.

Beliau berkata, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani juga harus mengamalkan ketelusan dalam pemberian permit dan tender dalam sektor perikanan, bagi mengelak dimonopoli golongan tertentu.

“Kebergantungan kita kepada pekerja asing dalam sektor laut dalam dan laut lepas membimbangkan, kita kekurangan pekerja tempatan terlatih atau berminat. Galakkan penduduk setempat ceburi sektor ini dengan wujudkan akademi latihan untuk nelayan,” katanya.

Beliau turut mencadangkan agar Kuala Kedah dijadikan perintis akademi latihan susulan kedudukan geografinya yang strategik, berdekatan laluan Laut Cina Selatan dan Laut Andaman, selain memiliki industri hiliran memproses tuna.

“Tradisi perikanan juga sudah lama bertapak di sini, malah Kedah Integrated Fishing Terminal (KIFT) bakal dibangunkan di Kuala Kedah, ini melayakkan ia dijadikan pusat latihan bagi menggalakkan orang tempatan terlibat dalam industri ini,” katanya.

Tambahnya, ia memudahkan Kuala Kedah beroperasi sebagai pusat perikanan laut dalam dan laut lepas.

“Penangkapan tuna berpotensi jana pendapatan nelayan dan tingkatkan pelaburan negara, namun perlukan modal tinggi menyebabkan hanya pemodal besar dapat terlibat dalam sektor laut lepas. Dianggarkan sebuah bot C3 bernilai RM2 juta hingga RM3 juta dan hanya ada lapan buah di Kuala Kedah,” katanya.

Dr Azman berharap lesen penangkapan ikan tuna di laut lepas dapat dikeluarkan secara sah bagi menggalakkan nelayan tempatan menceburi penangkapan tuna bagi meningkatkan hasil negara.