Kes mayat rentung di sebuah rumah kosong tiada unsur jenayah: Polis

Polis sahkan kejadian kebakaran yang mengakibatkan seorang mangsa disyaki lelaki tiada unsur jenayah.
A
A

KAJANG - Polis mengesahkan tiada unsur jenayah berhubung penemuan mayat seorang lelaki yang rentung dalam kejadian kebakaran di sebuah rumah kosong di Jalan Reko Kajang, petang tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang, Superintendan Mohd Sabri Abdullah berkata, Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Derah (IPD) Kajang menerima panggilan pada jam 1.26 petang memaklumkan berlaku kebakaran di sebuah rumah kosong terbiar.

Menurutnya, pasukan bomba dan penyelamat yang dikejarkan ke lokasi memadamkan kebakaran dalam tempoh kurang 30 minit.

“Selepas selesai kerja pemadaman api, anggota bomba kemudian menemui mayat disyaki seorang lelaki dalam keadaan rentung di bawah timbunan atap zink.

“Pasukan Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor yang ke lokasi kejadian bagi membantu siasatan mendapati tiada unsur jenayah dapat dikaitkan dengan kejadian terbabit.

“Pasukan Forensik dan Unit K9 Bomba dan Penyelamat daripada Shah Alam turut dipanggil bagi membantu siasatan namun tidak menemui sebarang peralatan yang menjadi punca kepada kebakaran,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bomba menemui mayat disyaki seorang lelaki dalam keadaan rentung di bawah timbunan atap zink.
Bomba menemui mayat disyaki seorang lelaki dalam keadaan rentung di bawah timbunan atap zink.

Beliau berkata, mayat mangsa tanpa identiti itu dihantar ke Hospital Kajang untuk bedah siasat.

Katanya, hasil siasatan mendapati tiada unsur-unsur jenayah berlaku dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

“Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian atau waris kepada si mati boleh berhubung dengan Pegawai Penyiasat kes, Sarjan Shawarudin Idris di talian 019-3457527 atau Balai Polis Kajang di talian 03-89114222.

Terdahulu, Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor memaklumkan menerima panggilan kecemasan sebelum menghantar tiga jentera ke lokasi.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Hafisham Mohd Noor berkata, kebakaran melibatkan sebuah premis yang ditinggalkan berkeluasan 30x80 kaki persegi.

“Bahagian belakang premis terbabit terbakar hampir 20 peratus.

“Terdapat seorang mangsa rentung yang kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.