Perak henti sementara aktiviti pembalakan

Kenyataan media yang dikeluarkan berhubung pertikaian aktiviti pembalakan melibatkan orang asli di Kampung Tasik Cunex di Gerik.
Kenyataan media yang dikeluarkan berhubung pertikaian aktiviti pembalakan melibatkan orang asli di Kampung Tasik Cunex di Gerik.
A
A
A

IPOH - Kerajaan Perak akan menghentikan sementara semua aktiviti pembalakan dalam kawasan yang menjadi pertikaian masyarakat orang asli Kampung Tasik Cunex di Gerik bermula hari ini.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dalam satu kenyataan bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator P Waytha Moorthy, hari ini berkata, arahan itu berkuat kuasa sehingga proses perbincangan antara kerajaan negeri dan komuniti orang asli selesai.

Menurutnya, satu pertemuan antara kerajaan negeri diwakili beliau dan Waytha Moorthy telah diadakan semalam yang turut dihadiri Peguam Negara, Tommy Thomas bagi membincangkan isu terbabit.

"Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri komited untuk mencapai penyelesaian yang adil dan saksama untuk melindungi kepentingan komuniti orang asli di penempatan berkenaan.

"Justeru arahan menghentikan sementara semua aktiviti pembalakan dalam kawasan yang menjadi pertikaian telah dikeluarkan sehingga proses perbincangan ini selesai," katanya.

Dalam kenyataan sama turut memaklumkan bahawa kerajaan Persekutuan dan negeri mengambil serius perkara berkaitan hak komuniti orang asli.

"Baik kerajaan Pusat mahupun negeri akan bekerjasama untuk menyelesaikan apa-apa isu berkaitan kumpulan masyarakat ini," katanya.

Bantahan oleh penduduk Kampung Tasik Cunex bermula Januari lalu dengan membina sekatan yang menghalang syarikat konsesi balak berlesen daripada mengeluarkan kayu dari kawasan pembalakan.

Artikel Berkaitan:

Ia dibuat atas dakwaan menceroboh kawasan tanah adat mereka, termasuk kebimbangan kehilangan sumber hutan dan merosakkan sumber air.

Bagaimanapun selepas penelitian dibuat kerajaan negeri, aktiviti pembalakan melibatkan kawasan 80 hektar di kawasan Hutan Simpan Air Chepam itu mematuhi semua syarat termasuk laporan Kajian Impak Alam Sekitar, di mana hanya pokok yang mengikut piawaian dibenarkan ditebang melalui kaedah ’tagging’.