BNM keluarkan duit syiling peringatan sempena pertabalan Agong

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima Keris Kerajaan, simbol kebesaran dan kekuasaan Raja Berperlembagaan pada Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-16 di Istana Negara semalam. - Foto Bernama
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima Keris Kerajaan, simbol kebesaran dan kekuasaan Raja Berperlembagaan pada Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-16 di Istana Negara semalam. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bank Negara Malaysia (BNM) mengeluarkan duit syiling peringatan bersempena pertabalan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 30 Julai.

BNM dalam kenyataan hari ini berkata, syiling peringatan itu telah dipersembahkan kepada Sultan Abdullah oleh gabenor Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus pada 26 Julai di Istana Negara.

“Duit syiling peringatan emas ini diperbuat daripada logam emas dengan ketulenan 999.9 dan berat setiap keping 7.96 gram. Nilai muka duit syiling ini ialah RM100 dan akan dijual pada harga RM1,800 sekeping. Sebanyak 300 keping ditempa.

“Duit syiling peringatan perak diperbuat daripada logam perak dengan ketulenan 99.9 dan berat setiap keping 31.1 gram. Nilai muka duit syiling ini ialah RM10 dan akan dijual pada harga RM200 sekeping. Sebanyak 1,500 keping ditempa,” menurut bank pusat.

Sementara itu, nilai muka duit syiling peringatan emas Nordic ialah RM1 dan akan dijual pada harga RM12 sekeping dan 20,000 keping ditempa.

Terdapat juga duit syiling peringatan set dua dalam satu sebanyak 1,000 set yang mengandungi satu duit syiling perak pruf dan satu duit syiling emas Nordic pruf dengan harga RM230 bagi setiap set.

“Bagi memberi peluang yang sama rata kepada orang ramai untuk membeli duit syiling peringatan edisi terhad ini, setiap pembeli hanya boleh membeli satu set dua dalam satu, satu duit syiling emas, satu duit syiling perak dan maksimum tiga duit syiling emas Nordic.

“Orang ramai boleh membuat tempahan dan pembayaran secara dalam talian mulai 19 Ogos,” menurut BNM sambil memberitahu cabutan akan dibuat sekiranya jumlah tempahan yang diterima melebihi jumlah ditawarkan.

Artikel Berkaitan:

Untuk sebarang pertanyaan, layari laman sesawang BNM di http://www.bnm.gov.my. - Bernama