Kekalkan stesen ECRL penumpang, kargo di Tok Bali

Ahmad (dua dari kanan) tertarik dengan gasing yang dipersembahkan sempena Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Negeri Kelantan di Pantai Bisikan Bayu hari ini.
Ahmad (dua dari kanan) tertarik dengan gasing yang dipersembahkan sempena Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Negeri Kelantan di Pantai Bisikan Bayu hari ini.
A
A
A

PASIR PUTEH - Kerajaan Kelantan tetap berterima kasih kepada kerajaan Persekutuan kerana meneruskan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) walaupun berubah daripada pelan asal.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, walaupun Tok Bali tidak lagi dicadangkan sebagai lokasi stesen penumpang dan kargo kerana dipindahkan ke Cherang Tuli di sini, kerajaan negeri telah membuat permohonan agar mengekalkan kemudahan tersebut.

Katanya, ia sesuai dengan pembangunan Tok Bali itu sendiri yang bakal menjadi pusat industri dan pelabuhan penting.

"Dalam permohonan itu juga kita meminta landasan sokongan dibina dari Tok Bali ke tapak stesen cadangan di Cherang Tuli sejauh 14 kilometer.

"Landasan ini penting untuk membawa kargo ke stesen yang secara tidak langsung mengembangkan industri rakyat negeri ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Negeri Kelantan di Pantai Bisikan Bayu hari ini.

Kerajaan Persekutuan sebelum ini memutuskan untuk menukar fungsi Stesen ECRL Tok Bali kepada mengangkut penumpang sahaja walaupun pelan asal digunakan untuk mengangkut penumpang dan kargo.

Sementara itu, Ahmad berkata, Perbadanan Tok Bali akan memainkan peranan dalam memastikan pangkalan perbekalan (supply base) di Tok Bali dinaik taraf kepada pelabuhan.

Artikel Berkaitan:

"Sebab itulah kita membenarkan kerja-kerja mendalamkan dasar muara di Tok Bali, kita mahu kapal-kapal besar berlabuh," katanya.