Tiada 'Ghost Smoke' di Terengganu

Penguatkuasa KPDNHEP Terengganu memeriksa premis bagi mengesan penjualan gula-gula 'Ghost Smoke'. -Foto KPDNHEP
Penguatkuasa KPDNHEP Terengganu memeriksa premis bagi mengesan penjualan gula-gula 'Ghost Smoke'. -Foto KPDNHEP
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu mendapati tiada premis runcit dan borong yang menjual gula-gula 'Ghost Smoke' di negeri ini.

Pengarahnya, Saharuddin Mohd Kia berkata, keputusan itu hasil pemeriksaan dilakukan 110 anggota penguatkuasa KPDNHEP bersama pihak berkuasa tempatan dan Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu sejak 23 Julai lalu.

Menurutnya, dalam tempoh itu sebanyak 206 premis perniagaan di seluruh negeri diperiksa dengan tumpuan diberikan terhadap premis runcit sekitar kawasan sekolah dan taman perumahan serta pemborong makanan tersedia bungkus.

“Sebelum ini kita ada menerima maklumat daripada orang ramai tetapi hasil pemeriksaan mendapati produk berkenaan sudah lama tidak dijual oleh peruncit kerana tiada bekalan yang mencukupi.

“Kebanyakan peruncit di negeri ini mengambil inisiatif sendiri tidak menjual produk ini kerana ia boleh menjejaskan kesihatan fizikal dan sahsiah pelajar sekolah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Penguatkuasa KPDNHEP Terengganu memeriksa premis bagi mengesan penjualan gula-gula 'Ghost Smoke'. -Foto KPDNHEP
Penguatkuasa KPDNHEP Terengganu memeriksa premis bagi mengesan penjualan gula-gula 'Ghost Smoke'. -Foto KPDNHEP

Katanya, walaupun tiada kes direkodkan, KPDNHEP akan terus menjalankan pemeriksaan dari masa ke masa bagi memastikan gula-gula 'Ghost Smoke' tidak dijual terutama kepada murid sekolah.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai segera membuat laporan tentang penjualan gula-gula berbahaya itu kepada pihak berkuasa sekiranya mempunyai maklumat supaya tindakan segera dapat diambil.

Artikel Berkaitan:

“Sebarang maklumat atau aduan boleh disalurkan melalui Talian Bebas Tol 1-800-886-800, aplikasi WhatsApp 019-279 4317, secara atas talian http://eaduan.kpdnhep.gov.my, SMS aduan ke 15888 dengan menaip KPDNHEP ADUAN atau media sosial Twitter dan Facebook KPDNHEP,” katanya.

Sementara itu, Saharuddin turut memaklumkan bahawa KPDNHEP Terengganu telah melakukan 32,358 pemeriksaan melibatkan semua akta di seluruh negeri sepanjang tahun ini.

Daripada jumlah pemeriksaan itu, sebanyak 439 kes telah dihasilkan dengan nilai rampasan berjumlah RM1.8 juta dan kompaun sebanyak RM62,500.

“Bagi hukuman denda oleh mahkamah pula, sebanyak 32 kes telah disabit kesalahan dan dikenakan denda berjumlah RM274,300 bagi keseluruhan kes di bawah Akta Perlindungan Pengguna 1999 dan Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.