X

Kindly register in order to view this article
!

Beri RM20 hadir program Azmin: Ini penjelasan Felcra

A
A

KUALA LUMPUR - Felcra mempertahankan tindakannya mahu memberi RM20 kepada peserta peogram pertemuan dengan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang dijadualkan di Terengganu hari ini.

Ketua Kumpulan Komunikasi dan Komersial Felcra, Mohammad Ab Rahman berkata, pemberian bayaran sebegitu ialah amalan biasa mereka sejak 2012 bagi mengurangkan beban anggotanya.

“Bukan sahaja program menteri, kami bayar elaun kepada semua program yang disertai oleh Felcra.

"Ini adalah pampasan atau imbuhan kepada peserta yang hadir ke majlis Felcra kerana mereka hilang pendapatan pada hari tersebut," katanya ketika dihubungi seperti dilaporkan Malaysiakini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya berkaitan pekeliling Felcra yang meminta pengurus kawasan mendapatkan 20 peserta dengan bayaran RM20 seorang.

Mereka perlu mencari peserta untuk mengambil bahagian dalam program Silaturrahim bersama Mohamed Azmin dengan pekebun kecil Risda Terengganu.

Menurut pekeliling bertarikh 27 Julai seperti dilaporkan Malaysiakini, arahan dalam pekeliling ke di Kuala Terengganu itu dikeluarkan oleh Felcra Berhad Wilayah Timur.

Bagaimanapun, difahamkan program itu telah dibatalkan dan Mohammad menjelaskan bayaran yang mahu dibuat itu hanya untuk peserta program dari Felcra sahaja.

Sementara itu, Utusan Online pula melaporkan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim juga asalnya mempunyai program di Terengganu esok tetapi turut dibatalkan.

Pengerusi PKR Terengganu, Azan Ismail berkata program Anwar dibatalkan kerana beliau akan mengerjakan haji.

"Malangnya kami agak terkejut apabila terima satu pesanan whatsapp daripada setiausaha pegawai tugas-tugas khas di pejabat menteri hal ehwal ekonomi bahawa program lawatan Azmin esok juga dibatalkan," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus