Maqis tahan produk sejuk beku tanpa dokumen sah

No Image Caption
A
A
A

JOHOR BAHRU - Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) menahan produk makanan sejuk beku tanpa dokumen sah di laluan ketibaan penumpang Terminal Feri Tanjung Belungkor, dekat Kota Tinggi, 29 Julai lalu.

Dalam kenyataan media, pemeriksaan lanjut jabatan itu mendapati warga Singapura membawa masuk daging babi, bebola daging babi dan kepak ayam yang tidak mempunyai sijil kesihatan mahupun permit import (IP) dikeluarkan Maqis.

"Pemeriksaan ketat di pintu masuk negara untuk mengesan kemasukan daging dan produk khinzir diteruskan walaupun Malaysia masih bebas daripada penyakit African Swine Fever (ASF).

"Kerajaan amat serius menjaga biosekuriti dan keselamatan makanan kerana kita tidak mahu virus atau serangga dibawa masuk. Ia akan merosakkan industri tanaman atau ternakan serta menjejaskan ekonomi negara dan kesejahteraan hidup rakyat," jelas kenyataan tersebut.

Selain itu, dimaklumkan ASF merupakan penyakit haiwan yang boleh menyebabkan kematian hampir 100 peratus khinzir dan khinzir liar.

"Jika tidak dicegah boleh menjejaskan industri penternakan khinzir negara yang bernilai kira-kira RM5 bilion," katanya.

Perbuatan mengimport babi dan produk babi tanpa permit yang sah daripada Maqis akan didakwa di bawah Seksyen 11(3) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan 2011.

"Jika disabitkan bersalah, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya.

Artikel Berkaitan:

"Bagi kesalahan kedua atau berikutnya, boleh didenda tidak melebihi RM150,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi tujuh tahun atau kedua-duanya," jelasnya lagi.