APMM jalankan operasi SAR

Peta menunjukkan lokasi melibatkan kawasan pencarian SAR.
Peta menunjukkan lokasi melibatkan kawasan pencarian SAR.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) melancarkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) bagi mengesan tiga pekerja resort yang dikhuatiri hilang ketika dalam perjalanan ke Pulau Tenggol, Dungun semalam.

Pengarah APMM Terengganu, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, operasi yang dikoordinasi oleh APMM melibatkan sebuah aset udara jenis bombardier dan empat aset laut iaitu empat buah bot daripada APMM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Jelasnya, operasi dijalankan bagi mengesan tiga pekerja Resort Pulau Tenggol, Fauzi Mohammad, 40; Mohammad Firdaus Mohd Awalludin, 25, dan Mohamad Hafiz Abd Rahim, 22.

"Difahamkan ketiga-tiga mereka ini dalam perjalanan menghantar bekalan air minuman dan tong gas memasak ke resort itu dan bertolak dari Jeti Aking di Seberang Pintasan, Dungun, kira-kira jam 11.40 pagi semalam.

"Bagaimanapun kehilangan mereka disedari kira-kira jam 3 petang apabila tidak tiba di resort sebelum dimaklumkan kepada polis dengan menghubungi Pusat Kawalan Radio (RC) Melaka yang memaklumkan kes itu kira-kira jam 3.15 petang," katanya dalam kenyataan media dikeluarkan hari ini.

Muhammad Suffi berkata operasi tersebut melibatkan aset laut iaitu Kapal Maritim (KM) Pekan, Kilat 2 dan dua bot Pasukan Polis Marin iaitu PGR 18 dan PSC 35 dan aset udara Bombadier CL 415 MP.

"Kawasan sektor pencarian pula melibatkan kawasan seluas 203 batu nautika di laut dan 161 batu nautika di udara," katanya.

Semalam, Sinar Harian ada melaporkan tiga pekerja resort dikhuatiri hilang di perairan Pulau Tenggol, Dungun apabila tidak muncul di resort mereka selepas hampir tiga jam berlepas menaiki bot untuk ke pulau itu.

Artikel Berkaitan:

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian.