Penganggur didakwa terima rasuah RM100,000

Abdul Munif ketika dibawa keluar dari mahkamah seksyen di sini, hari ini.
A
A

IPOH - Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ipoh di sini hari ini atas tiga pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM100,000 bagi projek melombong pasir sekitar Perak.

Tertuduh, Abdul Munif Ali, 52, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim S. Indra Nehru.

Mengikut pertuduhan pertama, Abdul Munif dituduh meminta wang suapan berjumlah RM10,000 daripada Rashid Mat Desa sebagai dorongan untuk dirinya membayar kepada Pembantu Khas Pegawai Kewangan Negeri Perak, Suzana Md Nor pada 2 Februari 2015 sekitar jam 10.30 pagi bagi membantu mendapatkan kelulusan melombong pasir sekitar Perak.

Bagi tuduhan kedua, Abdul Munif dituduh menerima rasuah berjumlah RM10,000 di Old Town White Coffee, Ipoh Garden sekitar jam 6 petang pada 4 Februari 2015 sebagai dorongan untuk diberikan kepada pegawai kerajaan Perak bagi mendapatkan dokumen sulit serta membantu mendapatkan projek perlombongan pasir.

Bagi tuduhan ketiga pula, Abdul Munif dituduh meminta rasuah berjumlah RM80,000 daripada Nor Azman Hashim di lokasi dan waktu sama seperti pertuduhan kedua bagi projek perlombongan pasir di Perak.

Abdul Munif dituduh di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan jika didapati bersalah dia boleh dipenjarakan selama tempoh tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah nilai suapan jika berbentuk wang tunai.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nurdihana Rosdi meminta agar Abdul Munif diikat jamin sebanyak RM15,000 bagi ketiga-tiga pertuduhan.

Tertuduh yang diwakili peguam Mohammad Salihen Mansor bagaimanapun meminta jumlah tersebut dikurangkan kepada RM5,000.

Menurut Mohammad Salihen anak guamnya itu tidak mempunyai pekerjaan selain menanggung isteri dan lima anak yang masih bersekolah serta menyara ibunya yang sudah berusia 84 tahun.

Hakim kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM12,000 dengan seorang penjamin serta menyerahkan pasport kepada SPRM sekiranya ada.

Mahkamah menetapkan sebutan semua kes pada 4 September ini.